Thursday, October 29, 2009

ASDI Umum Agihan Pendapatan 5.0 Sen Bersih Seunit

PTB Unit Trust Bhd, pengurus Amanah Saham Darul Iman (ASDI), pada Rabu mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.0 sen bersih seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober, 2009.

Pengagihan pendapatan itu diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said semalam.

"Pengagihan 5.0 sen itu terdiri daripada 4.0 sen agihan tunai dan 1.0 sen agihan dalam bentuk bonus unit. Pengagihan ini akan melibatkan dana berjumlah RM19.8 juta," beliau berkata sedemikian pada sidang media di Kuala Lumpur.
Ahmad Said berkata pembayaran itu akan dibuat pada 15 Disember.

Beliau berkata nilai aset bersih ASDI pada harga pasaran ialah RM178.67 juta bersamaan RM0.4508 seunit berbanding RM144.42 juta bersamaan RM0.3627 seunit pada awal tahun kewangan.

Ini merupakan peningkatan RM34.18 juta atau 23.67 peratus.

"Berdasarkan nilai aset bersih RM0.3627, kadar pulangan bagi agihan 5.0 sen seunit adalah bersamaan dengan 13.79 peratus, kadar yang lebih tinggi daripada simpanan tetap di bank atau pun instrumen pelaburan lain," kata Ahmad Said.

ASDI yang dilancarkan pada 31 Oktober 1994 adalah amanah saham yang berteraskan syariah. Dengan saiz dana berjumlah RM179 juta, ia melabur di dalam pasaran tempatan dan asing yang memenuhi prisip-prinsip syariah.

Ahmad berkata pada tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2008, tiada agihan pendapatan bagi ASDI berikutan prestasi ekonomi yang lemah dan perolehan yang kecil.

"Aktiviti perniagaan dan perdagangan dunia telah menguncup dengan ketara. Oleh itu, pendapatan syarikat terutamanya yang tersenarai di Bursa Malaysia dalam hampir semua sektor telah merosot dan mengalami kerugian," katanya.

Ahmad Said berkata ASDI sedang meningkatkan pendedahan di dalam dana ekuiti berteraskan syariah di Bursa Malaysia berikutan prospek ekonomi global yang semakin stabil.

"Ia juga disebabkan pertumbuhan dan pendapatan syarikat yang semakin berkembang disokong oleh langkah-langkah kerajaan sebagaimana dalam Bajet 2010 yang begitu strategik dalam memacu kembali ekonomi negara ke landasan asal," katanya.

No comments:

Post a Comment