Pertubuhan Belia 4B (M) Negeri Terengganu meletakkan sasaran untuk menubuhkan sekurang-kurangnya 100 pertubuhan itu di kesemua peringkat cawangan dalam masa terdekat.
Menurut Pengerusinya, Rozi Mamat, pelaksanaan secara berperingkat telah dilakukan dalam usaha untuk menghidupkan kembali pertubuhan yang dilihat sedikit ‘malap’ sebelum ini berikutan pelbagai perubahan yang dibuat.
“Setakat ini kita dalam proses untuk mendaftarkan kembali pertubuhan yang kita ada dan kita memohon agar semua Pertubuhan 4B di kawasan masing-masing meneliti kesemua permohonan yang telah dibuat.
“Malah, tindakan susulan perlu dilakukan dari masa ke masa untuk memastikan permohonan yang dibuat itu mendapat perhatian sewajarnya pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Gerakan Belia 4B (M) Kawasan Kuala Nerus yang berlangsung di Pusat Kegiatan Kemas Parlimen Kuala Nerus.
Menurutnya lagi, usaha untuk menstabilkan kembali pertubuhan yang bertindak sebagai ‘medan perjuangan’ orang muda ini perlu dilakukan secara berterusan agar mampu menyampaikan hasrat sebenar golongan ini ke peringkat yang lebih tinggi.
“Oleh sebab itulah saya berharap agar kesemua kawasan memainkan peranan yang lebih jelas untuk menarik lebih ramai ahli baru untuk menyertai pertubuhan ini.
“Selain itu, kita juga akan berusaha untuk memastikan setiap perkara yang ingin dilaksanakan akan dipermudahkan serta menyelesaikan semua agenda yang dibuat dalam tempoh yang lebih singkat,” katanya.
No comments:
Post a Comment