Thursday, October 22, 2009

BN boleh menang cemerlang

Semalam Menteri Besar, Datuk Ahmad Said enggan menjawab soalan Sinar Harian mengenai permohonan maaf daripada ADUN Jabi, Ramlan Ali.

“Saya tidak mahu nanti you pergi tanya orang lain dan esok ada komen lain pula,” kata Ahmad Said.

Beliau bimbang kenyataannya diputarbelitkan oleh Sinar Harian yang menurutnya memainkan berita mengenai ‘krisis Terengganu’ untuk kepentingan jualan dan pihak tertentu.

Ahmad Said berkata, perkara yang lepas tidak perlu diungkitkan lagi.

Lagipun segala-galanya sudah bertaut kembali.

Malah di Jabi, Selasa lalu, Menteri Besar yakin Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum akan datang.

Ini berdasarkan senario terbaru politik di negeri ini yang menyaksikan perpaduan lebih kukuh di kalangan pemimpin Umno yang menjadi tunggak BN.

Beliau berkata, jika keadaan ini berkekalan, tidak ada ruang bagi pihak pembangkang untuk berkuasa semula di negeri ini, apatah lagi rekod lalu jelas menunjukkan ia gagal mentadbir negeri ini selepas diberi peluang memerintah negeri ini pada 1999 hingga 2004.

“Saya boleh katakan Umno akan memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kemaman, Besut dan Setiu. Kita juga boleh menang dengan selesa di bahagian-bahagian lain dan seterusnya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi spontan berikutan ikrar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Haji Ramlan Ali, yang berikrar untuk taat setia kepada Menteri Besar dan saf kepimpinan Umno negeri selaras dengan gesaan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, supaya pemimpin dan ahli Umno bersatu bagi menguatkan parti.

Terdahulu Haji Ramlan memohon maaf secara terbuka kepada Dato’ Ahmad dan Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee, kerana tindak tanduknya sebelum ini menunjukkan sikap kurang hormat kepada pemimpin tersebut.

Dalam ucapan sempena sambutan Aidilfitri peringkat DUN Jabi, Ramlan melahirkan kekesalannya kerana membelakangi saf kepimpinan bahagian dan negeri dan berjanji ia tidak akan berulang.

Sebaliknya, Ramlan yang turut dikaitkan dengan peristiwa memboikot Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama dulu sebagai protes kepada kepimpinan Dato’ Ahmad, memberi jaminan akan membantu menguatkan Umno di semua peringkat.

Menteri Besar berkata, kesediaan Adun berkenaan memberi kerjasama penuh kepada kepimpinan kerajaan sekarang ini akan memantapkan lagi pentadbiran negeri.

Beliau menyifatkan langkah tersebut juga sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Umno, selaras dengan kehendak Datuk Seri Mohd Najib dan membantu kepimpinan negeri menguatkan kedudukan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

No comments:

Post a Comment