Thursday, October 22, 2009

4,101 jemaah haji zon timur mulai malam ini

Sebanyak lima penerbangan yang membawa jemaah haji ke tanah suci Mekah akan beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini bermula malam ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, ia melibatkan seramai 4,101 jemaah haji dari zon timur merangkumi tiga buah negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Katanya, penerbangan pertama dijangka berlepas pada pukul 7.15 malam ini dan terakhir dijadualkan berlepas pada 4 November ini pada pukul 11.15 pagi.

“Pada tahun ini, seramai 1,461 jemaah haji dari Terengganu, 2,225 dari Kelantan manakala 415 jemaah dari Pahang dan kesemua mereka berlepas daripada Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

“Cuma pada tahun ini ada kelainan sedikit apabila semua jemaah dikehendaki terus ke lapangan terbang tanpa perlu berkumpul di stadium seperti tahun lalu.

Ini kerana kita yakin lapangan terbang ini mampu menampung jumlah jemaah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco semalam. ini.

Pada majlis tersebut, TH Travel dan Servis Sdn. Bhd. turut menyumbangkan lima buah kerusi roda kepada pihak Malaysian Airport Sdn. Bhd. Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk kegunaan jemaah kurang upaya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri Terengganu turut menanggung kos-kos tambahan dan penggunaan peralatan penerbangan yang perlu dibawa dari Kuala Lumpur.

Tambahnya, sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi memberi keselesaan kepada jemaah haji tahun ini.

Di samping itu, beliau memaklumkan pihak Malaysian Airport Sdn. Bhd. turut mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penyakit berjangkit di kalangan jemaah haji.

Beliau turut menasihati agar jemaah haji menjaga kesihatan mereka sepanjang menjalankan ibadah haji di Mekah nanti.

No comments:

Post a Comment