Tuesday, October 27, 2009

DPMMT – Halang penguasaan kapitalis

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Terengganu (DPMMT) menggesa kerajaan negeri mewujudkan satu polisi bagi menghalang ‘pencerobohan’ berleluasa golongan kapitalis dalam sektor perniagaan di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Ir. Tengku Ismail Tengku Jaafar berkata, beliau khuatir sekiranya tiada usaha untuk mencegah kemasukan golongan terbabit akan menyebabkan golongan peniaga tempatan terutama bumiputera terpaksa gulung tikar.

Katanya, penguasaan ekonomi kapitalis secara tidak terkawal itu turut menjejaskan prestasi pasaran dan peruncit tempatan sehingga ramai di antara mereka terpaksa tutup kedai.

Beliau menjelaskan, antara golongan kapitalis yang dimaksudkan ialah pengusaha dua gedung membeli belah terkenal yang baru beroperasi di negeri ini selain sebuah syarikat gergasi berkaitan bahan binaan.

“Kita (DPMMT) amat berharap supaya kerajaan negeri dapat membantu mengekang pencerobohan dan penguasaan ekonomi oleh syarikat kapitalis di negeri ini yang makin serius kebelakangan ini.

“Kita juga bimbang kalau masalah ini tak dikawal dengan bijak, ia boleh mengakibatkan banyak ahli perniagaan dan usahawan Melayu di negeri ini gulung tikar,” katanya kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Tengku Ismail sedang memujuk kira-kira 1,000 ahli DPMMT yang tidak aktif supaya kembali mendaftar sebagai ahli demi kepentingan masa depan mereka di samping meneruskan perjuangan bagi membangunkan bidang perniagaan orang Melayu.

Buat masa ini beliau memberitahu, DPMMT hanya mempunyai seramai 400 ahli yang berdaftar manakala kira-kira 1,000 lagi disifatkan sebagai ahli bermusim atau tidak aktif.

No comments:

Post a Comment