Tuesday, October 27, 2009

Terengganu dapat khidmat pakar kardiologi

Hospital Kuala Terengganu dan Ipoh akan mendapat khidmat pakar kardiologi seperti yang terdapat di Hospital Alor Setar, Hospital Kota Baharu, Hospital Kuantan dan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Ia sebagai sebahagian usaha mempertingkatkan rawatan terhadap pesakit jantung apabila penyakit itu dan penyakit pulmonari adalah pembunuh utama di hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sebagai contoh, 16.5 peratus daripada 45,936 kematian di hospital kerajaan pada 2008 disebabkan penyakit jantung,
"Jumlah ini adalah besar dan kami mahu sokongan semua sektor untuk mencari kaedah dan cara bagi mengurangkan penyakit jantung, yang kini semakin meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan "Heart House", Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM) kelmarin.

Beliau berkata di negara ini, penyakit jantung koronari dianggarkan dihidapi 141 orang bagi setiap 100,000 penduduk setiap tahun, bermakna bagi penduduk yang berjumlah 27 juta orang, kira-kira 38,000 kes baru penyakit jantung koronari dijangka berlaku setiap tahun.

"Ini merupakan satu bebanan kepada sistem penjagaan kesihatan kita. Kira-kira 60 peratus daripada kes ini akan diuruskan di unit penjagaan koronari kementerian, manakala bakinya pula mendapatkan rawatan di kemudahan kardiak swasta dan bukan kerajaan," katanya.

Bagi mengurangkan bebanan itu, Liow menasihati orang ramai supaya mengawasi faktor risiko untuk menghidap penyakit jantung, termasuk tekanan darah tinggi, kolestrol darah tinggi, merokok, kurang bersenam serta pemakanan tidak seimbang, dan mendapatkan rawatan awal.

"Salah satu daripada caranya ialah dengan menjalankan program pencegahan. Kita perlu melancarkan lebih banyak program seperti itu bagi menggalakkan orang ramai menjalani gaya hidup yang sihat, aktif dan mengamalkan pemakanan yang sihat," katanya.

Mengenai rawatan, Liow berkata dua lagi pusat kardiotorasik akan dibina -- di Kuantan untuk Pantai Timur dan Kota Kinabalu di Sabah -- bagi menyediakan perkhidmatan menyeluruh kardiologi, pembedahan kardiotorasik dan anestesi kardiak serta khidmat perfusi.

"Pada masa ini, terdapat empat pusat kardiotorasik wilayah -- di Hospital Pulau Pinang, Hospital Serdang, Hospital Sultanah Aminah di Johor Baharu dan Hospital Umum Sarawak.

"Di samping itu, khidmat kardiologi turut disediakan oleh pakar kardiologi di Hospital Alor Setar, Hospital Kota Baharu, Hospital Kuantan dan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, dan perkhidmatan itu kelak akan diperluaskan ke Hospital Ipoh dan Hospital Kuala Terengganu."

Liow berkata kerajaan akan turut melatih lebih banyak pakar kardiologi bagi memenuhi keperluan.

"Pada masa ini, terdapat 24 pakar kardiologi di hospital kerajaan dan 15 doktor lagi sedang menjalani latihan dalam kardiologi. Kami dapat mengambil lima atau enam pelatih baru setiap tahun untuk mengikuti program fellowship kardiologi selama tiga tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment