Kehadiran kira-kira 150 pemancing dari China memang menghangatkan cabaran Kenyir Cup Goodwill Fishing Competition Terengganu-China 2009.
Ini terbukti apabila tempat kedua dan ketiga menjadi milik pasangan dari China, Yeung Wei Chi serta Wong King Tsuen dan Duzu Gui dan Wei Qiang Ghong dengan membawa pulang, RM10,000 serta RM5,000.
Bagaimanapun peserta tempatan berjaya mencuri tumpuan apabila pasangan - Mohd Zaki Mat Zin, 50, dan Asri Mat Isa, 38 - membawa pulang RM15,000 setelah memenangi piala berkenaan yang diadakan di Tasik Kenyir pada 4 hingga 5 Oktober lalu, di sini.
Lebih manis, Mohd Zaki yang berasal dari Kampung Kuala Pueh, Hulu Terengganu turut mengungguli Anugerah Khas-Toman Terbesar apabila menaikkan ikan sepanjang 78 sentimeter (sm) dan tempat pertama Anugerah Sagu hati-Belida Terbesar setelah menjinakkan ikan sepanjang 85.5 sm.
SementaraAsri yang juga pemandu bot laju di Tasik Kenyir yang berasal dari Kampung Pasir Dula, Hulu Terengganu juga pulang bergaya selepas turut memenangi tempat kedua Anugerah Khas-Toman Terbesar dan pertama bagi Anugerah Saguhati-Belida Terbesar.
Asri berkata, kemenangan yang tidak terduga itu adalah rezeki baginya dan dia berhasrat menggunakan duit dimenanginya itu bagi perbelanjaan keluarga serta lima anaknya, selain keperluan berkaitan. :
Menurutnya, dia mencari rezeki sebagai pemandu bot sejak 18 tahun lalu tetapi sepanjang tempoh itu tidak pernah menyertai pertandingan memancing.
“Tahun ini adalah julung kali saya berbuat demikian dan Kenyir Cup 2009 ini adalah pertandingan memancing kedua disertai. :
“Sokongan rakan membuatkan saya bersemangat menyertai pertandingan dan tidak menyangka akhirnya dinobatkan sebagai juara,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, malam semalam.
Menurutnya, ternyata angka 47 membawa tuah kepada saya dan pasangan sebagai peserta.
Dalam pada itu, Mohd Zaki turut melahirkan kegembiraan memenangi pertandingan berkenaan dan berharap acara seumpama itu dapat diadakan lagi pada masa akan datang kerana ia juga dapat memberi peluang kepada kaki pancing berkumpul.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Kenyir Cup Goodwill Fishing Competition Terengganu-China 2009, Datuk Za’abar Mohd Adib.
Pertandingan memancing Kenyir Cup 2009, anjuran Kerajaan Terengganu dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri itu menarik lebih 200 penyertaan.
No comments:
Post a Comment