Kerajaan Negeri bercadang menganjurkan pertandingan memancing Kenyir Cup selama tiga tahun berturut-turut bagi memastikan objektif penganjuran dapat dicapai, sekali gus melonjakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib berkata, penyertaan juga dijangka bertambah dengan sasaran peserta bukan sahaja dari China tetapi juga negara lain.
“Melihat pertandingan memancing Kenyir Cup 2009 yang diadakan buat julung kalinya ini berjaya dan berpotensi untuk meningkatkan sektor pelancongan, khususnya di Tasik Kenyir serta Terengganu, amnya, Kerajaan Negeri bercadang meneruskan penganjurannya setiap Oktober, bermula tahun ini sehingga 2011.
“Seiring hasrat itu, usaha ke arah pengkayaan dan penambahbaikan akan turut dilakukan, termasuklah penginapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Kenyir Cup Goodwill Fishing Competition Terengganu-China 2009, di Kuala Terengganu kelmarin.
Za’abar berkata, langkah ini perlu dilaksanakan bermula sekarang supaya lebih ramai peserta boleh hadir pada penganjuran akan datang.
“Pertandingan ini juga ada potensi yang baik bagi produk pelancongan,” katanya.
Sementara itu, pertandingan yang berlangsung selama dua hari berakhir 5 Oktober itu menyaksikan pasangan peserta tempatan, Mohd Zaki Mat Zin, 50, dan Asri Mat Isa, 38, muncul johan, sekali gus berjaya membawa pulang RM15,000 berserta piala.
Za’abar yang juga Pengerusi Kenyir Cup Goodwill Fishing Competition Terengganu-China 2009 berkata, kejayaan penganjuran sulung itu juga akan menjadi pemangkin bagi penganjuran pertandingan seumpama itu pada masa akan datang
No comments:
Post a Comment