Pusingan-U maut! Itulah gambaran masalah yang mengancam keselamatan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS), di sini, yang berdepan risiko kemalangan jalan raya, terutama pada waktu puncak ketika kenderaan bertali arus berhampiran sekolah itu.
Walaupun jejantas ada disediakan berhampiran pintu utama sekolah untuk kemudahan pelajar melintas, ramai ibu bapa lebih gemar memberhentikan kenderaan berhampiran pintu belakang untuk menghantar dan mengambil anak pulang dari sekolah.
Sikap ibu bapa yang gemar mengambil mudah soal keselamatan anak mereka menyebabkan ramai pelajar sekolah itu berdepan ancaman dilanggar kenderaan, terutama ketika banyak kereta membuat pusingan-U untuk ke laluan menghala ke Marang.
Penduduk, Mohd Maizuhar Mohd Nor, 30, mengakui dia pernah melihat kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah berkenaan yang dilanggar sebuah kereta ketika membuat pusingan-U ketika ibu bapa menghantar anak ke sekolah.
Dia berkata, langkah pencegahan perlu segera diambil pihak sekolah, antaranya menutup pintu pagar belakang bagi memastikan pelajar menggunakan laluan pintu utama, sekali gus memerlukan mereka menggunakan jejantas.
“Sebelum lebih banyak nyawa melayang, saya berharap sekolah menutup pintu belakang itu kerana memang membahayakan nyawa pelajar, terutamanya apabila tamat waktu persekolahan, ketika jalan raya sesak dengan kenderaan yang mahu membuat pusingan-U.
"Saya masih tidak faham kenapa mereka liat sangat hendak menggunakan jejantas disediakan. Sepatutnya pengurusan menggalakkan pelajar menggunakan jejantas untuk keselamatan diri," katanya.
Penduduk, Syukri Jusoh, 40, berkata pengurusan sekolah perlu menggalakkan pelajar menggunakan jejantas dan mensyaratkan semua pelajar perlu menggunakan pintu utama.
“Apabila pintu belakang ditutup, pelajar tiada pilihan lain selain menggunakan pintu depan sekolah dan menggunakan jejantas. Lagipun ibu bapa yang hendak mengambil anak mereka akan memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan ini menyukarkan kenderaan lain untuk membuat pusingan-U," katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum SMKSS, Mohd Saberi Salleh, 50, turut mengakui bahaya yang mengancam keselamatan pelajar, bagaimanapun berkata, pintu belakang sekolah tidak ditutup kerana ia akan menyusahkan pelajar yang terpaksa berjalan jauh untuk keluar dari sekolah.
"Kita akui masalah ini, tetapi untuk menutup pintu belakang sekolah mungkin sesuatu yang sukar kerana pelajar terpaksa berjalan jauh. Tetapi, kita akan menggiatkan usaha menasihatkan ibu bapa supaya tidak memberhentikan kenderaan berhampiran kawasan pusingan-U.
"Kita sedar, tindakan ibu bapa meletakkan kenderaan berdekatan pusingan-U menyusahkan pengguna jalan raya lain. Kita sudah banyak kali menasihatkan ibu bapa mengenai masalah ini, tetapi tidak diendahkan. Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada mereka yang prihatin dan akan berusaha mengatasi masalah ini segera," katanya.
No comments:
Post a Comment