Thursday, October 22, 2009

Indeks jenayah turun 12 peratus

Polis Kontinjen Terengganu berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 12 peratus dan menyelesaikan 60 peratus kes sepanjang 10 bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu bukan saja melebihi sasaran awal penurunan sebanyak 10 peratus daripada 4,741 kes tahun lalu kepada 4,276 kes tahun ini, malah membanggakan warga kerjanya dan orang awam sekali gus menjadikan Terengganu sebagai negeri selamat.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pencapaian memberangsangkan itu diperoleh hasil kerjasama padu semua lapisan masyarakat.

Ini termasuk pembabitan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung; Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam membantu tugas polis membanteras dan membendung jenayah.

"Kita akan teruskan pendekatan polis dan masyarakat bersama mencegah jenayah menerusi pelbagai program dan kempen membabitkan pihak lain seperti bank, pelajar dan agensi kerajaan serta swasta.

"Mulai bulan depan, kita akan turun ke sekolah dan mengaktifkan semula Pegawai Perhubungan Sekolah untuk mengendalikan program seperti ceramah dan kempen di kalangan pelajar," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Polis Kontinjen Terengganu baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment