Thursday, October 22, 2009

Saranan sertai Program Bumi Hijau

Penduduk di taman perumahan disaran menyertai Program Bumi Hijau bagi mengurangkan perbelanjaan keluarga dan membantu mengurangkan kebergantungan kepada hasil pertanian import.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Dan Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata sejak dilancarkan semula pada Jun tahun lalu, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Felda, jabatan kerajaan dan sekolah, sekali gus memberi pendapatan sampingan kepada peserta.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembabitan daripada masyarakat bandar masih rendah dan hanya diusahakan segelintir penduduk berpunca daripada kurang kesedaran mengenai kepentingan mengeluarkan hasil tanaman untuk kegunaan sendiri yang terbukti lebih selamat berbanding produk yang dibeli dari luar.

Sejak program Bumi Hijau dilancarkan pada pertengahan tahun lalu, sambutan yang diterima daripada masyarakat Felda dan sekolah amat menggalakkan dan tahun ini lebih 100 sekolah termasuk menengah dan rendah seluruh negeri menyertai program berkenaan.

"Justeru kita menyeru supaya lebih ramai penduduk taman perumahan di bandar cuba berjinak-jinak menanam cili di rumah kerana ia boleh menjimatkan perbelanjaan harian dan lebihan tanaman boleh dijual.

"Faktor kesibukan kerja dan ruang yang terhad tidak boleh dijadikan alasan kerana ketika ini terdapat pelbagai kaedah tanaman yang mudah dan tidak memerlukan penjagaan rumit," katanya selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Pengusaha Pasar Tani/Edible Garden di Hulu Terengganu.
Hadir sama, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian (Fama) negeri Terengganu, Hassan Jusoh.

Rozi berkata, kerajaan sentiasa memberi galakan dan inisiatif sama ada daripada aspek kewangan dan nasihat kepada rakyat sekiranya mereka berminat untuk memulakan program berkenaan.

Justeru, katanya pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM300,000 untuk disalurkan kepada mereka yang berminat dengan syarat dilaksanakan secara berkelompok di taman perumahan atau di kampung.

"Kita mempunyai peruntukan khusus untuk program ini dan bantuan akan diberi dalam bentuk input seperti benih, baja dan perkakasan. Namun keutamaan akan diberi kepada mereka yang menyertai program ini secara berkelompok termasuk sekolah bagi memastikan ia lebih efektif.
"Bagi yang berminat boleh berhubung terus dengan pegawai Jabatan Pertanian di tempat masing-masing dan saya percaya bantuan segera dapat disalurkan," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Kitchen Garden/edible Landscape Peringkat Negeri Terengganu 2009 dan bantuan peralatan kepada peniaga Pasar Tani Kuala Berang.

No comments:

Post a Comment