Sunday, October 25, 2009

Jaga Adik Baik-baik Pesanan Terakhir Ibu Kepada Anak

Pesanan ibu supaya menjaga adik-adik dengan baik sebelum meninggalkan rumah untuk menghadiri majlis kenduri kahwin di Kemaman masih terngiang-ngiang di telinga anak, Mohd Shafik Baharuddin.


Mohd. Syafiq Baharuden (kanan) menenangkan adiknya Mohd. Sufian dan Mohd. Suhaimi (kiri) yang sedih dengan kematian ibu bapa, nenek dan adik mereka ketika ditemui di Kampung Kesom hari ini. Empat beranak itu maut dalam kemalangan jalan raya di KM 123 Jalan Jerangau-Jabor, Kemaman petang semalam – Gambar Utusan

Beliau tidak menyangka, pesanan itu merupakan amanat terakhir ibunya untuk beliau sebagai anak sulung, mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-adiknya setelah ibu mereka, Maimun Ibrahim, 40, dan bapa Baharuddin Taib, 45, terbunuh dalam kemalangan di kilometer 123, Jalan Jerangau Jabor, berhampiran Padang Kubu Kemaman, 7.30 petang kelmarin.

Turut terbunuh dalam kemalangan itu adik Mohd Shafik, Mohd Nor Firdaus, dua tahun, dan nenek adik-beradik berkenaan, Esah Salleh, 80-an.

Empat lagi adik Mohd Shafik, Aidil Sahidan, 12, Aishah Nabilah, 10, Ekmal Rizal, lapan tahun, dan Aishah Natasya, empat tahun yang cedera parah kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Mohd Shafik, 17 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Belara, Manir, berkata beliau dimaklumkan mengenai kemalangan yang membabitkan keluarganya pukul 9.30 malam tadi.

"Saya dan dua lagi adik, Mohd Sufian, 15, dan Mohd Suhaimi, 14, memang mahu ikut sama ke majlis kenduri kahwin itu tetapi kereta sudah tak muat. Sebelum masuk ke kereta, mak pesan suruh saya jaga adik-adik, jaga rumah dan jangan biarkan rumah bersepah," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kesum, Manir, kelihatan masih keliru dan terkejut akibat kehilangan empat anggota keluarga sekaligus.

"Saya tidak sangka, itulah pesan terakhir mak kepada saya," kata Mohd Shafik.

Hujan lebat mengiringi pengkebumian keempat-empat jenazah berkenaan yang disemadikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Kesum, di sini kira-kira pukul 6.30 petang ini.

Kesemua jenazah mangsa tiba dari Hospital Kemaman kira-kira pukul 4 petang dan solat jenazah diadakan di Masjid Belara sebelum dikebumikan.

Dalam kejadian itu, kereta Proton Saga Aeroback yang dipandu Baharuddin melanggar belakang sebuah kereta Proton Saga menyebabkan kereta yang dinaiki lapan sekeluarga itu berpusing sebelum dilanggar pula oleh sebuah kereta Proton Gen2 lalu terbakar.

Empat anak Baharuddin yang duduk di bahagian belakang kenderaan itu bersama neneknya berjaya dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian, manakala Baharuddin, Maimun dan anak bongsu mereka gagal dikeluarkan dari kenderaan akibat api marak terlalu cepat menyebabkan ketiga-tiganya rentung.

Lapan sekeluarga itu difahamkan dalam perjalanan menuju ke rumah abang Baharuddin di Cheneh untuk menghadiri kenduri yang dijadual diadakan hari ini.

Kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu kereta Proton Gen2, seorang pelajar swasta di Subang Jaya, Selangor, Mohd Khairul Ikhwan, 18, yang pulang untuk bercuti di rumah keluarga di Bukit Payong, mengalami cedera ringan dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta Proton Saga yang dinaiki empat sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan.

No comments:

Post a Comment