Orang ramai, khususnya di negeri ini yang berminat menyertai Larian 1Malaysia-MBNT 2009 pada 14 November depan, jangan berlengah-lengah mendaftar.
Ini kerana larian itu diharapkan akan mencecah lebih 7,000 peserta dan akan dianjurkan oleh Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) dengan kerjasama Jabatan Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dijangka menyertai larian bersama lebih 7,000 orang termasuk badan dan agensi kerajaan, swasta, belia, NGO dan juga orang awam.
Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Setiausaha MBNT, di talian 09-6242200.
Larian yang berkonsepkan larian ria sejauh tiga kilometer ini bermula bermula dan berakhir di Dataran Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu.
Pada masa yang sama, peserta berpeluang memenangi hadiah larian sumbangan penaja serta kupon cabutan nombor bertuah akan diberikan kepada peserta yang dapat menamatkan larian dalam tempoh waktu yang ditetapkan.
Setiausaha MBNT, Encik Salleh Othman, berkata program itu bertujuan menggerakkan dan mengaktifkan para belia di negeri ini, sekaligus dapat melahirkan masyarakat yang seimbang dan mantap.
Pada masa yang sama, penglibatan dalam program itu juga sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap gagasan dan kepimpinan negeri dan negara khasnya.
“Adalah diharapkan agar program ini akan dapat menghindarkan belia daripada mendekati perkara-perkara yang tidak diingini dan menyalahi undang-undang.
“Di samping itu juga, ianya dapat melahirkan kesediaan belia untuk melakukan sebarang aktiviti bersukan adalah digerakkan daripada kehendak dan sikap aktif belia itu sendiri. Malah, apa yang lebih penting dapat membentuk keperibadian dan disiplin diri,” katanya.
No comments:
Post a Comment