Kastam Terengganu berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 14,800 karton rokok kretek dianggarkan bernilai RM1.06 juta, yang diisi dalam sebuah lori ketika operasi di Dungun Rabu lalu.
Pengarah Kastam negeri Datuk Azis Yacub berkata rokok-rokok tersebut dipercayai dibawa melalui jalan laut dari sebuah negara jiran untuk pasaran di pantai timur.
"Rampasan rokok ini merupakan yang terbesar dibuat Kastam Terengganu pada tahun ini," katanya pada sidang media Kuala Terengganu, semalam.
Azis berkata bertindak atas maklumat, sepasukan anggota diketuai Penolong Pengarah Kastam Mohd Fadil Muhamad Yunus membuat intipan pukul 3.40 pagi.
Katanya intipan selama tiga jam itu akhirnya dapat mengesan sebuah lori tiga tan yang sarat dengan muatan rokok berhampiran Kampung Pulau Serai, Dungun menghala ke sini.
Beliau berkata pemandu lori berkenaan bagaimanapun sempat melarikan diri dalam kegelapan malam setelah menyedari dihampiri kenderaan penguatkuasa, dengan meninggalkan lori berkenaan di tengah jalan.
Azis berkata sekurang-kurangnya lima buah kereta yang dipercayai milik tonto mengiringi lori berkenaan, namun, tiada insiden tidak diingini berlaku.
Beliau berkata siasatan awal mendapati nombor pendaftaran yang digunakan oleh lori berkenaan adalah palsu, dan pihaknya kini menjalankan siasatan untuk mengesan pemilik lori itu.
Azis berkata jumlah cukai yang cuba dielak mencecah RM840,946.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, mengangkut barang-barang larangan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang, penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya bekerjasama dengan Kastam, menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan kepada bahagian pencegah Kastam Terengganu melalui talian 09-6228477, 09-6204242 atau talian bebas tol 1800-88-8855.
No comments:
Post a Comment