Monday, October 12, 2009

PTB Catat Keuntungan Lebih RM12 Juta Enam Bulan Tahun 2009

PTB Unit Trust Berhad (PUTB), pengurus Tabung Amanah Saham Darul Iman (ASDI) yang berteraskan syariah, mencatat keuntungan RM12.72 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi PTB Datuk Muhatar Abdullah berkata jumlah keuntungan itu meningkat berganda berbanding keuntungan rendah yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lepas, iaitu sebanyak RM0.381 juta berikutan keadaan pasaran saham yang tidak memberangsangkan dalam tempoh itu.

"Kita akan membayar dividen kepada para pemegang saham dalam masa terdekat setelah pihak lembaga amanah PTB bermesyuarat bagi menentukan kadar dividen berkenaan. Insya-Allah, kita harap kita akan dapat membayar pulangan yang lebih baik berbanding jumlah yang dibayar pada masa lalu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Kuala Terengganu, semalam.

Muhatar, bekas Setiausaha Kerajaan Terengganu, berkata PTB Unit Trust Berhad kini mempunyai 25,000 pemegang saham individu dan juga institusi dengan nilai saham RM56.51 juta.

Beliau berkata PUTB, syarikat milik penuh Permodalan Terengganu Berhad, mulai beroperasi dan melabur dalam bidang saham pada tahun 1994. Ia mempunyai modal berbayar RM2.50 juta dan sehingga 30 Sept 2009, dana pemegang sahamnya telah meningkat kepada RM8.60 juta.

Muhatar berkata PTB hari ini membayar zakat perniagaan sebanyak RM178,620.40 untuk tahun 2008 kepada Maidam.

No comments:

Post a Comment