Wednesday, October 14, 2009

Pemain Golf Asia Berkampung di Terengganu


Za'abar melakukan `putting' gimik pelancaran Terengganu Masters Golf Invitational 2009 di Kuala Terengganu Golf Resort.


Oleh : AIDA ABD RAHMAN (UKOM)

Seramai 144 pemain golf dari seluruh Asia akan berkampung selama seminggu di Terengganu bagi menyertai kejohanan `Terengganu Masters Golf Invitational 2009’, di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal, Kuala Terengganu bermula 29 Oktober depan.

Program kali keempat anjuran kerajaan negeri menerusi Persatuan Golf Terengganu dan Tourism Malaysia Terengganu yang berakhir pada 3 November depan melibatkan penyertaan pemain profesional seluruh Malaysia (70 orang), pemain profesional Asia (50 orang) dan Amatur 24 orang.

Selain pemenang Masters 2007, Feroz Ali Mollah dari India yang mengesahkan penyertaan pada kejohanan ini, peserta lain yang turut berbuat demikian adalah Huyuh Von San dan Michale Tran (Vietnam); Shinjo Fukushima dan Takashi Okuda (Japan); Chris Carey dan Andrew Argus (Australia); Aung Hla han dan Zaw Zin Win (Myanmar) dan lima pemain profesionals masing-masing dari Filipina dan Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata kedatangan pemain dari seluruh negara ke kejohanan itu nanti dapat memperkenalkan dan memproosi negeri ini sebagai satu destinasi golf terkemuka melalui penganjuran pertandingan golf bertaraf profesional.

Katanya, kejohanan itu juga menjadi acara pelancongan Terengganu yang berprestij dan terkenal di kalangan peminat golf di dalam dan luar negara.Selain itu, secara langsung ia akan dapat menarik lebih banyak penganjuran acara seumpamanya.

“Kerajaan sedang berusaha ke arah menjadikan Terengganu antara destinasi yang menyediakan pakej golf yang setanding dengan negeri lain yang sudah maju.


Majlis penyerahan cek untuk juara Terengganu Masters Golf Invitational 2009.

“Setakat ini kita sudah ada beberapa tempat yang menjadi tumpuan pemain golf seperti di Ibai Golf Resort (Tuanku Mizan Golf & Country Resort) dan lokasi itu perlu dinilai tambah supaya menarik lebih ramai pelancong dan kaki golf ke pusat pelancongan itu, sekaligus menambah kehadiran pelawat ke Terengganu,” katanya ketika sidang media Terengganu Masters Golf Invitational 2009, di Kuala Terengganu Golf Resort, kelmarin (12 Oktober 2009).

Za’abar turut mengharapkan lebih ramai syarikat korporat tampil menaja kejohanan itu supaya menarik lebih ramai penyertaan luar dan setanding dengan penganjuran golf lain dengan tawaran hadiah yang lebih lumayan.

Beliau kemudiannya menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Golf Terengganu, Haji Zubir Azhari berjumlah RM23,250 sebagai hadiah juara keseluruhan kejohanan itu.

No comments:

Post a Comment