Wednesday, October 14, 2009

TM Terengganu sedia perkhidmatan TMOW

Telekom Malaysia (TM) Terengganu menyediakan perkhidmatan bergerak iaitu TM Point On Wheel (TMOW) bagi meningkatkan kemudahan kepada pelanggan dan orang ramai di negeri itu.

Pengurus Besarnya, Azhar Omar berkata, sebuah kenderaan berharga RM300,000 diubah suai untuk membolehkannya digunakan bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai.

Katanya, perkhidmatan itu ditumpukan kepada pelanggan terutama di kawasan yang jauh bagi membolehkan mereka memperolehi kemudahan yang sama seperti yang disediakan di premis TM Point.

Menurutnya, pada masa ini terdapat empat TM Point di negeri ini iaitu di Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan Jerteh untuk memenuhi keperluan pengguna.

''Perkhidmatan TMOW ini meliputi pembayaran bil dan permohonan perkhidmatan telefon dan internet, penjualan produk TM selain pembayaran bil setempat seperti elektrik dan air," katanya selepas Majlis TM Jom Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut dan pelancaran TMOW di pekarangan Perpustakaan Desa Bukit Payong kelmarin.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Nawi Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut.
Azhar berkata, sebanyak 48 lokasi di negeri ini dikenal pasti untuk perkhidmatan TMOW itu yang dijangka mampu meningkatkan jumlah pelanggan TM di negeri ini pada masa akan datang.

Pada masa ini jelasnya, TM mempunyai kira-kira 115,000 pelanggan kediaman dan komersial serta 27,000 pelanggan internet.

Terdahulu, Nawi dalam ucapannya berkata, masyarakat termasuk golongan dewasa perlu mempelajari dan mengambil tahu mengenai perkembangan teknologi maklumat.

Jika tidak katanya, mereka tidak tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh anak-anak yang melayari internet.

No comments:

Post a Comment