Saturday, October 31, 2009

Penonton Terengganu tidak dapat dikawal?


Gara-gara stadium kecil dan lama, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menerima kehangatanya.

Memang sukar untuk mengawal penonton di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Bagaimanapun, oleh kerana keputusan sudah dibuat merayu sahajalah!
PBSNT semalam dikenakan denda sehingga RM16,000 akibat kejadian penonton membaling mercun dan memasuki padang ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu pada 3 Okt lepas.

Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa tatatertib Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan oleh Kamaruddin Abdullah di Wisma FAM di sini.

Kamaruddin berkata PBSNT didenda RM5,000 masing-masing kerana penonton membaling mercun kepada pegawai perlawanan dan penonton memasuki padang.

"Manakala tuduhan ketiga adalah penonton masuk ke padang, meluru serta cuba memukul pengadil perlawanan yang menyebabkan mereka (PBSNT) didenda RM6,000," kata Kamaruddin kepada pemberita.

PBSNT dibenarkan untuk membuat rayuan dalam tempoh 14 hari.

Semasa membandingkan hukuman denda RM90,000 yang dikenakan terhadap Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA) sebelum ini, Kamaruddin berkata tahap keseriusan kejadian yang berlaku di Kelantan dan Terengganu adalah berbeza.

"Di Terengganu, ia hanya melibatkan penyokong di dalam stadium sahaja manakala di Kelantan ia turut melibatkan di luar stadium malah kejadian di Kota Baharu merupakan kesalahan berulang.
Jadi jika perkara sama berulang di Terengganu, hukuman yang lebih berat pasti akan dikenakan kepada PBSNT," katanya.

Selain itu, jawatankuasa tatatertib hari ini turut melepaskan KAFA daripada tuduhan berkaitan tindakan membaling mercun oleh penyokong pasukan itu semasa perlawanan Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 3 Okt lepas di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

"Kami lepaskan KAFA kerana mengikut peraturan FAM, tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan sebagainya adalah merupakan tanggungjawab tuan rumah iaitu ATM," katanya.

No comments:

Post a Comment