Saturday, October 31, 2009

Terengganu sokong Sekolah Satu Aliran

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beliau menyokong penuh sekolah satu aliran seperti yang disarankan tokoh akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.


Beliau berkata sekolah satu aliran adalah bagus kerana selain dapat mewujudkan perpaduan di kalangan kaum, ia juga membuka peluang pelajar pelbagai kaum belajar dalam satu sekolah yang sama.

"Saya fikir kalau sekolah satu aliran ini dibuat betul-betul, ia akan mendapat sambutan dari kalangan ibubapa untuk menghantar anak mereka di sekolah berkenaan agar ia dapat mewujudkan hubungan baik antara kaum dengan lebih berkesan," katanya.

Kay Kim dalam ceramah bertajuk 1Malaysia: Cabaran dan Harapan pada program Semarak Perpaduan dan Patriotisme di Pulau Pinang baru-baru ini mencadangkan pelaksanaan sekolah satu aliran.

Menurut Kay Kim, sekolah pelbagai aliran sekarang merupakan sistem peninggalan penjajah yang tidak mampu mewujudkan negara bangsa yang benar-benar bersatu padu.

‘‘Sistem pendidikan sekarang tidak memerlukan sekolah pelbagai aliran kerana bahasa ibunda setiap kaum boleh dimasukkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di dalam bilik darjah,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment