Pusat rawatan jantung milik kerajaan negeri Terengganu semakin hampir kepada realiti berdasarkan kejayaan pembedahan budak 7 tahun yang sudah selamat pulang ke Terengganu.
Difahamkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menjadikan kes pembedahan ini sebagai kajian untuk mendapatkan kepakaran daripada pihak tertentu untuk mewujudkan pusat berkenaan di negeri ini.
Baru-baru ini Ahmad Said berkata pusat itu dijangka beroperasi pada pertengahan tahun depan, sekali gus membolehkan rakyat negeri itu mendapatkan rawatan dengan kos yang lebih rendah.
Dengan adanya pusat itu, pesakit dari negeri itu tidak perlu lagi mengeluarkan kos yang lebih untuk ke ibu negara bagi mendapatkan rawatan berkenaan.
Mohd Ayub, yang berada lebih seminggu untuk rawatan di Kuala Lumpur, dikatakan berada dalam keadaan memuaskan.
Beliau yang menjalani rawatan selepas pembedahan jantung berlubang pada 30 September lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pulang pada pagi 7 Oktober lalu.
Mohd Ayub dibawa balik ke Kuala Terengganu dengan kenderaan yang disediakan oleh pejabat Menteri Besar Terengganu.
Ketibaan Mohd Ayub di rumahnya di Kampung Simpang Tok Ku, Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada jam 6.00 petang hari yang sama telah disambut oleh keluarganya.
Dijangkakan Menteri Besar apabila pulang ke Terengganu selepas lawatan ke Sepanyol dan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur akan melawat Mohd Ayub dan keluarganya.
Kejayaan ini membanggakan dan Ahmad Said dijangka akan mengumumkan lebih lanjut mengenai pusat rawatan menjelang awal bulan depan.
Bercakap kepada pemberita 12 September lalu, beliau berkata, buat masa sekarang kerajaan negeri sedang melakukan pengubahsuaian bangunan serta menunggu kelengkapan peralatan-peralatan perubatan dibawa masuk.
"Pusat ini adalah inisiatif kerajaan negeri agar rakyat Terengganu dapat mengurangkan kos perubatan bagi penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, kanser dan strok," katanya.
Menurut Ahmad, ramai rakyat Terengganu yang menghidapi penyakit kronik seperti sakit jantung dan strok tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya kerana kos perubatan yang tinggi.
"Dengan adanya pusat rawatan ini di Terengganu, ia membuka peluang luas kepada anak-anak negeri untuk mencurahkan bakti dalam bidang perubatan khususnya perubatan jantung," ujarnya.
Mengenai caj rawatan yang dikenakan kepada pesakit yang memerlukan khidmat di institut jantung itu nanti, beliau menjelaskan ia bergantung kepada taraf hidup dan pendapatan pesakit berkenaan.
“Kalau mereka yang berkemampuan mungkin akan kena caj seratus peratus. Kalau kurang mampu mungkin 50-50, bayar sendiri separuh dan kerajaan akan tanggung separuh.
Ia bergantung kepada taraf hidup masing-masing,” katanya.
No comments:
Post a Comment