Tuesday, October 13, 2009

Besut daif kemudahan gelanggang sukan

Oleh RODDIK MALAYSIA (Forum Utusan)

Sering diperkatakan kemajuan sukan berkait rapat dengan pembangunan infrastruktur di sekitarnya. Saya ingin menyentuh mengenai kemudahan sukan yang tidak seimbang di daerah Besut, Terengganu.

Saya adalah seorang bapa yang meminati sukan berasaskan permainan gelanggang. Tetapi di daerah Besut ini perkembangan sukan untuk permainan gelanggang amat daif, terutama tenis.

Saya pernah menyuarakan kekecewaan terhadap ketiadaan kemudahan gelanggang tenis daerah. Anak-anak terpaksa mengemis, menumpang bermain di sekolah-sekolah seperti SMK TG Mahmud dan MRSM Kota Putra.

Atas belas ihsan sekolah berkenaan maka dapatlah anak-anak ini menumpang bermain dengan guru di sana, yang juga ahli-ahli persatuan Tenis Daerah Besut.

Mereka juga turut menumpang tempat untuk beriadah dan menurunkan sedikit ilmu kepada generasi baru anak-anak kita.

Apa yang dilakukan oleh Pegawai Daerah?

Bukan tiada perbincangan dibuat dengan beliau. Dulu daerah Besut juga memiliki gelanggang tenis.

Tetapi atas nama pembangunan, gelanggang tersebut terpaksa dikorbankan untuk memberi laluan kepada Kompleks Rakan Muda dan gelanggang Sukan Ekstrem.

Dan terbaru, satu kawasan pantai telah diratakan atas alasan pembangunan padang golf.

Berapa orangkah yang akan pergi menghayun kayu golf di situ nanti? Adalah lebih baik kawasan tersebut dibangunkan dengan kemudahan gelanggang serba guna, gelanggang tenis atau pun kawasan rekreasi.

Lihat sahaja Mini Stadium Kota Putra yang daif dan menyakitkan mata yang memandang. Trek larian olahraga yang rosak, bumbung yang bakal rebah dan rumput yang 'menternak' ratusan reptilia.

Tetapi anehnya di situlah saban tahun Kejohanan Olahraga Daerah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia diadakan.

Berpuluh-puluh atlet telah berjaya mengharumkan nama daerah bermula di balapan itu. Tetapi begitulah kita, jika tidak ditegur maka lenalah kita di kerusi empuk.

No comments:

Post a Comment