Monday, October 12, 2009

Saman RiyaPadu kini ditanggung kerajaan BN?

Tarikh 17 Januari tahun depan (2010) ditetapkan sebagai perbicaraan kes saman sebuah syarikat pembalakan Bumiputera terhadap kerajaan negeri Terengganu berjumlah RM1 bilion.

Ia berhubung penamatan konsesi balak secara tidak sah yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu semalam tetapi ditangguh ke 17 Januari depan.

Penangguhan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Zaidi Ibrahim di dalam kamar.

Syarikat Riyapadu Sdn Bhd (Riyapadu) diwakili peguam R Sukhdev Singh dan Mohamad Fariz Mohd Ali manakala kerajaan negeri Terengganu diwakili Penasihat Undang-undang Negeri, NoorBahri Baharuddin.

Dalam writ saman yang difailkan pada Disember 2007, syarikat itu berkata pada 3 April 2003, ia menandatangani perjanjian konsesi melalui tender terbuka mengambil hasil hutan di kawasan seluas 16,587 hektar di Mukin Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Melalui perjanjian dengan kerajaan negeri yang ketika itu diperintah Pas, Riyapadu diberi kebenaran mengambil kayu balak dan hasil hutan di kawasan itu dan bersetuju membayar kerajaan negeri RM25 juta sebagai premium pembalakan.

Syarikat itu mendakwa telah menjelaskan bayaran premium RM20 juta pada 9 April 2003 dan RM5 juta pada 5 Julai tahun yang sama dan bersedia menjelaskan bayaran premium selanjutnya melalui bank.

Namun apabila bank pembiaya Riyapadu memohon pengesahan bertulis kerajaan negeri pada masa itu, kerajaan negeri enggan memberi sebarang kerjasama dan menamatkan konsesi balak berkenaan.

Setelah menamatkan konsesi tersebut, kerajaan Pas negeri didakwa bertindak merampas kayu-kayu balak yang telah ditebang dan dilelong kepada pihak lain tanpa persetujuan syarikat.

Riyapadu mendakwa lelongan itu membolehkan kerajaan negeri memperolehi hasil hampir RM10 juta, selain mendapat hampir RM20 juta lagi hasil lelongan di kawasan konsesi lain yang infrastruktur jalan di kawasan terlibat telah diusahakan oleh Riyapadu.

Berikutan pelanggaran perjanjian itu, Riyapadu mendakwa dibebani hutang melebihi RM8 juta dengan kontraktor dan pembeli balak selain kerugian bayaran premium RM25 juta yang telah dijelaskan selain berdepan tindakan undang-undang oleh kontraktor dan pembeli balak terlibat.

Riyapadu mengemukakan saman itu bagi mendapatkan semula bayaran premium RM25 juta, kos kewangan dan kehilangan keuntungan dijangka hampir RM1 bilion.

No comments:

Post a Comment