Monday, October 12, 2009

Kemenangan Isa Bukti BN Diterima Rakyat -Hisham

Kemenangan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Bagan Pinang dengan majoriti 5,435 undi menewaskan Zulkefly Mohamad Omar dari PAS membuktikan rakyat terus menerima Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata antara faktor yang memberi kemenangan kepada BN ialah faktor peribadi dan ketokohan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu yang diterima rakyat di Bagan Pinang.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ia juga membuktikan pengundi di kawasan itu tidak melupakan jasa dan khidmat Mohd Isa, yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang.

"Sebagai sokongan diterjemahkan ke dalam bentuk undi walaupun Mohd Isa dilemparkan dengan pelbagai tuduhan sehingga ke hari pengundian," katanya kepada pemberita selepas pengumuman kemenangan Isa bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang semalam.

Bagi Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kemenangan besar ini memberikan gambaran BN diterima rakyat pelbagai kaum di kawasan itu.

Beliau berkata kemenangan itu juga lebih bermakna apabila sokongan bukan Melayu, khususnya kaum India, memihak kepada BN dengan semua peti undi dimenangi parti pemerintah itu.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan kemenangan itu sebagai kemenangan kepada rakyat Malaysia yang mahukan kestabilan negara didahulukan.

"Saya tengok pengundi beri isyarat yang jelas dan nyata mereka nak kembalikan kestabilan dan keharmonian negara," katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau menyifatkan kemenangan wakil BN itu disumbangkan keberkesanan jentera parti mendekati rakyat di Bagan Pinang.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula mahu pucuk pimpinan BN mengekalkan momentum kemenangan BN di Bagan Pinang untuk BN terus meraih kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Beliau berkata BN juga tidak harus leka dengan kemenangan ini sebaliknya menjadikan kemenangan ini sebagai pencetus kepada usaha yang lebih baik demi meraih kejayaan cemerlang khususnya pada pilihan raya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment