Wednesday, October 14, 2009

Tarikan Taman Herba Kenyir

Usaha Kerajaan Negeri melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memajukan Pulau Sah Kecil, di sini sebagai Taman Herba, ternyata membuahkan hasil apabila destinasi berkonsepkan pelancongan, pendidikan dan penyelidikan itu mampu menggamit kehadiran pelancong secara purata kira-kira 1,000 orang sebulan.

Penyelia Taman Herba, Mat Jusoh Mamat Amin berkata, taman yang dibuka secara tidak rasmi pada 2003 dan berkeluasan 15.8 hektar itu sehingga kini mempunyai lebih 26,000 pokok herba, terdiri daripada 230 jenis serta menjadi salah satu daya tarikan utama di Tasik Kenyir.

“Taman Herba terletak tujuh kilometer dari Pengkalan Gawi. Kehadiran pengunjung bukan sekadar membolehkan mereka mengetahui mengenai tumbuh-tumbuhan kerana ia dilabelkan dengan nama saintifik dan khasiatnya, tetapi juga berpeluang menikmati rasa air tongkat ali dan kacip fatimah asli.

“Kewujudan Taman Herba ini berjaya menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara. Malah, inisiatif Ketengah turut memberikan manfaat kepada penyelidik untuk membuat kajian dan penggemar tumbuh-tumbuhan hutan. Jika sebelum ini mereka terpaksa meredah hutan tetapi kini semuanya sudah ada di Taman Herba,” katanya.

Menurutnya lokasi strategik iaitu terletak di laluan beberapa destinasi pelancongan lain di Tasik Kenyir adalah antara faktor menarik kedatangan pelancong.

Selain tongkat ali dan kacip fatimah, antara spesies lain ada di situ adalah legundi, halban, bonglai, kemuning kayu manis, sekentut, mampu serta pecah piring.

Mat Jusoh berkata, menyentuh mengenai perancangan akan datang, sebuah pusat penyelidikan dan pusat rawatan :perubatan tradisional seperti aromaterapi, mandian herba dan perubatan berasaskan herba akan diwujudkan sebagai salah satu usaha menarik lebih ramai pelancong ke taman herba berkenaan.

Menurutnya, beberapa kemudahan sedia ada juga akan dinaiktarafkan dari semasa ke semasa. selain penyediaan kios menjual barangan cenderamata kepada pelancong untuk dijadikan tanda kenangan.

No comments:

Post a Comment