Monday, October 12, 2009

TNB RANCANG BINA EMPANGAN BARU DI TERENGGANU, PAHANG

Sumber: Bernama

Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang membina dua empangan hidroelektrik baru, masing-masing satu di Hulu Terengganu, Terengganu dan Hulu Jelai di Pahang.

Naib Presiden (Sumber Manusia) TNB, Muhammad Razif Abdul Rahman, berkata empangan hidroelektrik yang akan dibina di Hulu Terengganu itu terletak di kawasan Sungai Tembat dan Sungai Puah dengan kapasiti 250 megawatt manakala empangan yang akan dibina di Hulu Jelai pula berkapasiti 372 megawatt.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk mendedahkan anggaran kos dan keluasan kedua-dua empangan tetapi menjelaskan projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat.
"Kedua-dua empangan hidroelektrik itu akan dibina serentak dan dijangka siap pada tahun 2014," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya TNB Negeri Terengganu di semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Besar Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir dan Pengurus Besar TNB Terengganu, Ir Mohd Yuslan Mohd Yusof.

Muhammad Razif berkata, proses mengeluarkan tender kini diadakan.
Katanya, empangan yang akan dibina di Sungai Tembat dan Sungai Puah itu adalah empangan ketiga di Terengganu dan lebih kecil daripada empangan pertama iaitu Stesen Janaelektrik Sultan Ismail di Paka yang mengeluarkan tenaga dengan kapasiti 1,200 megawatt dan Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, di Tasik Kenyir dengan kemampuan 400 megawatt.

Beliau berkata, pihaknya kini telah menerima kelulusan daripada Pejabat Hutan Terengganu untuk memulakan kerja-kerja pembersihan kawasan projek.

"Keperluan tenaga elektrik di Terengganu tidak banyak, mungkin dalam 300 megawatt sahaja. Jadi kita ada Stesen di Paka yang mampu mengeluarkan 1,200 megawatt dan Kenyir 400 megawatt. Kedua-duanya kita sambungkan kepada gred nasional untuk memberi bekalan tenaga ke seluruh negara," katanya.

Muhammad Razif berkata, pembinaan empangan hidroelektrik baru itu penting kerana matlamat kerajaan ialah untuk mempelbagaikan sumber tenaga di negara ini.
"Kita jangka dalam beberapa tahun akan datang, bukan sahaja kos bahan api terus meningkat, tetapi dari segi kesediaannya. Ada atau tidak, itu belum terjamin. Maka kerajaan menggalakkan kita melihat kepada sumber-sumber yang boleh diganti semula.

"Contohnya projek kincir angin dan kuasa solar hibrid yang menjadi salah satu sumber yang kita kenali sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui dimulakan di Pulau Perhentian," katanya.

No comments:

Post a Comment