Thursday, October 15, 2009

UMT pemangkin bangunkan bioteknologi

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Institut Bioteknologi Marin mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan dalam bidang penyelidikan bioteknologi di negara ini khususnya kalangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof. Dr. Faizah Shaharom berkata, pelbagai program termasuk seminar anjuran universiti itu turut menjadi platform kepada para cerdik pandai serta penyelidik untuk berbincang mengenainya.

Pada masa sama, jelasnya, ia juga membolehkan mereka yang terlibat saling bertukar pendapat, berkongsi ilmu serta idea dalam usaha memantapkan lagi kerja penyelidikan dalam bidang bioteknologi.

“Adalah penting penguasaan bidang ini oleh negara-negara membangun seperti Malaysia, kerajaan telah mengambil inisiatif bagi menubuhkan syarikat berasaskan tekonologi,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Bioteknologi Siri Ketujuh di UMT kelmarin.

Seramai 140 orang peserta terdiri daripada pelajar universiti, kebanyakannya pelajar UMT menyertai seminar tersebut.

Program itu turut dijayakan oleh tiga orang penyelidik berkaitan sains hayat dan kejuruteraan pemprosesan iaitu Prof. Madya Dr. Ramlan Abd. Aziz dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Aishah Adam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Prof. Madya Dr. Fadzilah Adibah (UTM).

Dr. Faizah memberitahu, secara global, bioteknologi bermula dalam sejarah ketamadunan manusia meliputi bidang perubatan, penerapan bioteknologi yang dibuktikan dengan penemuan vaksin, antibiotik dan insulin.

Menurutnya, bioteknologi berkembang sangat pesat terutama di negara-negara maju dan membangun seperti Malaysia.

No comments:

Post a Comment