Thursday, October 15, 2009

Ri-Yaz tingkatkan promosi kawasan marina

Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyung Kuala Terengganu sedang meningkatkan kemudahan dan promosi kawasan marina untuk menjadikannya sebagai pusat persinggahan bot dan kapal layar yang strategik di negara ini.

Pengurus Besarnya, Abdul Shaheed Yusoff berkata, kemudahan itu termasuk kawasan tempat meletakkan bot yang lebih banyak dan selamat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Selain itu, katanya, Ri-Yaz juga bercadang membina pusat pembaikan bot yang dilengkapi kemudahan peralatan dan kakitangan terlatih di kawasan marina itu dalam menawarkan perkhidmatan terbaik.

''Pada masa ini Ri-Yaz menyediakan sebanyak 47 tempat untuk meletakkan bot atau kapal layar dalam satu-satu masa yang membabitkan 10 petak untuk kapal bersaiz besar dan 37 petak untuk bot bersaiz kecil,'' katanya.

Abdul Shaheed berkata demikian ketika ditemui di majlis hari raya anjuran Ri-yaz baru-baru ini..

Beliau memberitahu, pada masa ini banyak bot daripada seluruh negara termasuk dari Afrika Selatan dan New Zealand berlabuh di marina Ri-Yaz sebelum meneruskan perlayaran mereka.
Malah katanya, ada sesetengah pelayar melabuhkan bot mereka sehingga lapan bulan sebelum meneruskan perjalanan mereka.

''Kawasan marina di sini menjadi pilihan kerana dasarnya yang dalam di samping berhampiran dengan pusat bandar yang memudahkan untuk mereka mendapatkan bekalan,'' katanya.

Abdul Shaheed berkata, kadar sewaan yang ditawarkan juga amat berpatutan berdasarkan saiz bot dan tempoh masa berlabuh bagi memastikan marina Ri-Yaz terus menjadi pusat persinggahan apabila mereka melalui perairan negara ini.

Di samping itu, katanya, Ri-Yaz juga menyediakan risalah yang diedarkan melalui pelayar yang singgah bagi membolehkan mereka menyampaikan maklumat tersebut kepada rakan-rakan mereka.

Beliau berkata, dalam mempromosikan resort tersebut, sebuah pusat spa yang diberi nama 'Sembunyi Spa' sedang dalam pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir November ini.

Katanya, projek yang menelan belanja kira-kira RM1 juta itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan dalam memberi keselesaan kepada pengunjung dengan menyediakan pakar terlatih daripada Indonesia.

Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyung itu merupakan pusat acara Monsoon Cup yang dianjurkan oleh kerajaan negeri sehingga 2012 dan tahun ini merupakan tahun ketiga yang akan berlangsung pada awal Disember ini.

No comments:

Post a Comment