Monday, October 19, 2009

UMT sedia kemudahan kursus Selam Skuba

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) adalah IPTA yang pertama menjalankan Program Pembangunan Sahsiah pelajar melalui kursus 'Open Water Scuba Diver'.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Aziz Deraman, berkata kemudahan sedia ada di universiti tersebut membolehkan kursus tersebut dijalankan dengan mudah.

"UMT satu-satunya universiti yang mempunyai stesen penyelidikan yang terletak di pulau iaitu di Pulau Bidong yang membolehkan sebarang aktiviti seumpama ini diadakan tanpa perlu melibatkan kelengkapan dari agensi luar.

"Melalui program seperti ini mampu memberi nilai tambah yang tinggi di samping memberi kemahiran sampingan kepada para pelajar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Selam Skuba di Pulau Bidong kelmarin.

Tahun ini, 150 pelajar berjaya menamatkan kursus selam skuba itu dan sekali gus membolehkan mereka menerima Sijil Open Water Scuba Diver daripada Scuba Diving International (SDI).

Tambahnya, lebih membanggakan, UMT menjadi universiti pertama yang diberi kebenaran meletakkan logo universiti pada lesen selam skuba tersebut.

"Pihak universiti berusaha keras mendapatkan kebenaran peringkat antarabangsa untuk meletakkan logo universiti pada lesen tersebut untuk mempromosikan UMT sebagai universiti yang menyediakan pengajian marin terulung di negara ini," jelasnya.

1 comment:

  1. mengapa ada logo unisza di sebelah prof aziz??
    kenapa bukan logo umt..??

    ReplyDelete