Sunday, October 25, 2009

Universiti New Zealand Buka Cawangan Di Terengganu

Sebuah universiti dari New Zealand, Nursing University akan membuka cawangan di Terengganu bagi melatih pelajar di bidang kejururawatan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata pihak pengurusan universiti berkenaan berminat untuk beroperasi di Taman Ilmu, Tembila, Besut yang sedang dalam pembinaan.

“Rundingan dengan universiti berkenaan sedang dilakukan dan kita harap lebih banyak universiti termasuk dalam negara, membuka cawangan mereka di Taman Ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Temu Mesra Mahasiswa/I Dan Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) di kampus USM, malam semalam.

Dato’ Ahmad berkata, kini kerajaan negeri sedang giat melaksanakan pelbagai program di bidang pendidikan, selaras dengan usaha menjadikan negeri ini sebagai ‘Negeri Anjung Ilmu’.


Malah, kerajaan negeri akan memperuntukkan lebih RM100 juta bagi melaksanakan pelbagai program di negeri ini tahun depan, melalui Bajet 2010.

“Kita akan menambah bilangan murid-murid yang menggunakan e-Book, memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang dan menghantar pelajar cemerlang mengikuti pengajian di bidang perubatan di universiti luar negara,” ujarnya.

Menteri Besar memberitahu lebih 400 pelajar USM yang hadir pada majlis tersebut, beliau bertungkus lumus membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar bagi melahirkan lebih ramai cendikiawan dan ilmuan di Terengganu.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut berusaha melahirkan cendikiawan yang mampu menghafal al-Quran, khususnya dari Sekolah Imtiaz.

Sumber: UKOM

No comments:

Post a Comment