Wednesday, November 25, 2009

Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora Kategori Kedua

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur), Condore dan Bunguran.


Jabatan itu dalam kenyataannya berkata angin kencang dengan kelajuan sehingga 60 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berterusan sehingga 28 November ini.

Selain itu, kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia (Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur) terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan keadaan itu dijangka berterusan hingga hari kedua sambutan hari raya Aidil Adha.

Keadaan ini adalah berbahaya kepada kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri, kata kenyataan itu.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di perairan Sarawak, Reef North, Layang-Layang, Palawan, Labuan dan Sabah (Pantai Barat dan Kudat) juga dijangka berterusan sehingga tarikh yang sama.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sementara itu, kejadian ribut petir dijangka berterusan hingga tarikh yang sama di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak Barat, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-layang.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 40 kmsj dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian 2.5 meter, sekaligus berbahaya kepada bot-bot kecil.

No comments:

Post a Comment