Wednesday, November 25, 2009

Banjir Tidak Halang Kastam Lancar Operasi

Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu tidak menjadikan banjir yang melanda negeri itu sebagai halangan untuk membanteras kegiatan penyeludupan, malah meningkatkan usaha menanganinya menerusi operasi di lautan dan juga di darat.


Pengarah Kastam Negeri Datuk Azis Yacub berkata kegiatan penyeludupan barang-barang yang belum diluluskan jabatan itu, sama ada melalui laut atau darat sangat serius di Terengganu.

"Ini terbukti menerusi operasi 'Ops Lada' yang kita jalankan selama 10 hari bermula 14 Nov lalu, seramai 28 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan, telah ditahan," katanya semalam.
Menurut beliau, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya telah merampas barangan seludup seperti rokok dan beras bernilai RM9,573, manakala anggaran cukainya sebanyak RM38,209.

Beliau berkata sepanjang Op Lada dijalankan, sebanyak 39 kapal dan bot, 13 kenderaan dan 130 premis di negeri itu telah diperiksa.

Beliau berkata 28 kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam iaitu kesalahan memiliki barang belum lulus Kastam, dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda lima kali ganda dari harga barang.

Operasi itu melibatkan 40 anggota Kastam dari negeri Perak, Pulau Pinang, Johor dan Terengganu, katanya.

Azis berkata sasaran operasi ialah bot-bot dan kenderaan penyeludup, tempat pendaratan barang seludup dan tempat menyimpan atau menjual barang seludup.

No comments:

Post a Comment