Tuesday, November 24, 2009

Banjir - Keadaan di Terengganu semakin reda

Keadaan banjir di Terengganu semakin reda apabila mangsa banjir menurun kepada 6,899 orang berbanding

7,739 petang semalam.

Bagaimanapun, jika sebelum ini Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Setiu dilanda banjir sejak Isnin lepas, banjir kini turut melanda daerah Kuala Terengganu.

Seramai 496 penduduk dari beberapa kampung dan taman perumahan di Kuala Terengganu iaitu Kampung Pusu Tiga, taman perumahan Seri Embun, Taman Darul Iman, Kampung Banggol Peradong, Kampung Temiang dan Kampung Titian Baru terpaksa dipindahkan sejak 3 petang semalam berikutan hujan lebat sekali-sekala.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata sehingga pagi ini, sebanyak enam pusat pemindahan dibuka di daerah Kuala Terengganu dengan 92 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong, Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (301), Sekolah Kebangsaan Tok Jiring (50), Sekolah Kebangsaan Atas Tol (30) dan Sekolah Kebagsaan Banggol Peradong (23).

Mangsa banjir di Setiu ialah seramai 91 orang, Kemaman (1,060), Dungun (3,099), Besut (318), Marang (1,529) dan Hulu Terengganu (494).

Sementara itu, kira-kira 1,000 nelayan di beberapa kampung di daerah Setiu tidak dapat turun ke laut menangkap ikan kerana ombak besar serta angin kencang di perairan Laut China Selatan sejak seminggu lalu.
Nelayan terbabit adalah dari Kampung Fikri, Saujana, Gong Batu, Mangkok, Rhu Sepuluh, Penarik, Telaga Papan dan Merang.

Kebanyakan mereka bimbang keadaan cuaca yang tidak menentu boleh menjejaskan keselamatan mereka semasa berada di laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Setiu, Baharudin Ibrahim berkata, berikutan keadaan cuaca berkenaan, pihaknya meminta para nelayan di kawasan itu supaya tidak turun menangkap ikan walaupun pendapatan mereka terjejas.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang keselamatan nyawa dan bot nelayan perlu diutamakan.
''Keadaan cuaca sekarang amat membimbangkan dengan angin kencang serta ombak besar. Dalam keadaan ini nelayan tidak perlu memikirkan tentang pekerjaan mereka di laut.

''Sebaliknya mereka boleh melakukan pelbagai kerja lain seperti menjahit pukat dan membaiki bot masing-masing," katanya di sini semalam.

Jabatan Meteorologi semalam melaporkan kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir di Pantai Timur akibat hujan peringkat merah menyebabkan ombak sehingga 2.5 meter tinggi.

Baharudin berkata, jika keadaan cuaca mengizinkan tidak lama lagi, pihaknya tetap menasihatkan nelayan supaya berhati-hati semasa turun ke laut terutama ketika bot nelayan keluar dan masuk di muara Sungai Setiu.
Ini kerana katanya, keadaan muara yang menjadi laluan utama bot-bot nelayan di kawasan itu kini semakin cetek dan boleh menjejaskan keselamatan mereka.

''Awal tahun ini empat buah bot nelayan di sini mengalami kerosakan serta kerugian akibat dipukul ombak besar selepas terkandas di muara itu," katanya.

No comments:

Post a Comment