Tuesday, November 24, 2009

Empangan Padu antara Transformasi Ketara Sektor Pertanian

Sektor pertanian memerlukan satu transformasi ketara berikutan keupayaan sektor itu menjana ekonomi negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan yakin sektor itu berupaya dimantapkan dan diperkukuhkan untuk memainkan peranan lebih besar dalam menjana ekonomi negara, seterusnya memainkan peranan sebagai paksi ketiga pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan sedar akan kepentingan sektor pertanian, kerajaan melalui Bajet 2010 telah memperuntukan sejumlah RM6 bilion untuk digunakan bagi memajukan sektor tersebut.

Katanya antara lain peruntukan itu akan digunakan untuk menaik taraf dan membaik pulih sistem pengairan dan saliran di dalam dan luar jelapang yang bakal dinikmati lebih 180,000 petani dengan peruntukan sebanyak RM137 juta dan untuk melaksanakan projek Empangan Paya Pedu di Terengganu untuk Skim Pengairan Besut yang memberi kemudahan kepada ramai pesawah dengan peruntukan sebanyak RM70 juta.

"Sektor pertanian merupakan antara sektor yang menjadi sumber penting pendapatan rakyat luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu satu transformasi ketara perlu dilaksanakan dan tranformasi itu perlu bermula dari peringkat tanaman sehingga ke pemasaran hasil pertanian.

"Dengan sokongan peladang, penternak dan nelayan serta komitmen kerajaan yang ada sekarang, tidak mustahil transformasi sektor pertanian ini boleh dilaksanakan dengan jayanya," katanya dalam ucapannya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-36 Persatuan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di sini, Isnin malam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Najib berkata beliau yakin tranformasi itu boleh dilaksanakan dengan adanya Dasar Agro Makanan Baru yang digubal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang bertujuan memajukan lagi sektor agro makanan supaya boleh mencapai Imbangan Dagangan Makanan yang positif menjelang 2020.

Selain itu, Najib berkata bajet yang dibentangkan baru-baru ini juga turut memberi perhatian terhadap keluh kesah dan rintihan golongan seperti petani nelayan dengan persetujuan kerajaan untuk menubuhkan Skim Persaraan 1Malaysia.

"Skim ini akan diurus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di mana mereka yang layak boleh mencarum secara sukarela mengikut kemampuan dan bagi setiap RM100 caruman, kerajaan akan memberi sumbangan lima peratus tertakluk kepada jumlah RM60 setahun.

"Ini bermakna sekiranya seorang petani berumur 35 tahun membuat caruman sebanyak RM100 sebulan selama 20 tahun, petani berkenaan akan mempunyai simpanan terkumpul sebanyak RM40,000 pada umur 55 tahun," katanya.

Najib berkata selain berusaha membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan peladang, penternak dan nelayan, kerajaan juga prihatin terhadap kesukaran rakyat terutamanya kos sara hidup yang kian meningkat.

Justeru itu, komited untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar pada tahun 2010, kerajaan, kata Najib, akan menyediakan peluang latihan kemahiran dan program penjanaan pendapatan bagi menangani kemiskinan tegar.

Katanya langkah utama ke arah matlamat itu ialah mengagihkan bantuan kebajikan Persekutuan pada hari pertama setiap bulan serta meneruskan Skim Program Lonjakan Mega yang dijangka dapat mengeluarkan 5,600 keluarga daripada kemiskinan tegar.

Najib berkata kerajaan juga akan mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini kepada 2.8 peratus pada tahun 2010 berbanding 3.6 peratus tahun lepas.

"Bagi mengurangkan kadar kemiskinan ini, kerajaan akan menyediakan latihan kemahiran dan kemudahan makro kredit supaya golongan ini dapat menjana pendapatan yang berterusan untuk lebih berdikari," katanya.

No comments:

Post a Comment