Sunday, November 15, 2009

Cabaran Perhentian Kecil dapat sambutan peserta dalam, luar negara

Sumber: Utusan Malaysia


Penyertaan atlet marathon warga Kenya di dalam Cabaran Pulau Perhentian (PIC) tahun ini ternyata memberi saingan sengit kepada peserta tempatan dalam memburu gelaran juara.

Ketiga-tiga mereka berjaya menamatkan perlumbaan setengah jam lebih awal daripada jangkaan sekaligus mendahului kira-kira 400 peserta lain.

Namun pencapaian atlet tempatan di dalam semua empat kategori yang dipertandingkan (lelaki dan wanita untuk novis dan elit) tidak kurang hebatnya setelah mengikut rapat langkah-langkah panjang pelumba dari benua Afrika itu.

Cabaran lumba lasak anjuran PIC Adventures Sdn. Bhd. yang diadakan di Pulau Perhentian Kecil, Terengganu pada awal bulan lalu padat dengan cabaran yang menguji kecekalan peserta.

Cabaran yang dilalui dalam kategori elit termasuk larian denai sejauh 11 kilometer (km), ujian minda, berenang sejauh 600 meter, memanjat 500 anak tangga dan memikul beg pasir.

Ketika menyahut cabaran itu ada yang tersungkur di tangga konkrit, kekejangan otot dan salah seorang peserta hampir lemas akibat masalah jantung ketika berenang. Dalam disiplin renang, peserta diberi pilihan sama ada untuk memakai jaket keselamatan ataupun tidak.

Dalam kategori elit, atlet triatlon negara, Shahrom Abdullah, 30, memenangi tempat kedua selepas ketinggalan kira-kira empat minit di belakang Hillary Kipchumba Kimutai.

Di dalam kategori novis lelaki, penyertaan kali pertama pelajar tahun akhir Jurusan Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) terus membuahkan hasil.

Sebastian Libah, 23, menjadi peserta tempatan pertama yang tiba di garisan penamat dengan perbezaan masa kira-kira dua minit di belakang Nicholas Merica (pertama) dan Daniel Kipkemei (kedua).

Sementara itu, Jessica Tang Mei Lee, 25, yang menjuarai novis wanita berkata, kelebihan memecut semasa di laluan mendaki memberikan beliau pecutan untuk meninggalkan peserta lain.

Beliau yang biasa dengan larian 10 km dan separa marathon (21 km hingga 42 km) bagaimanapun 'membazirkan' kira-kira 20 minit kerana sesat di lokasi ujian minda yang pertama.

Majlis penyampaian hadiah wang tunai bernilai RM40,000 kepada peserta disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib di perkampungan nelayan, Kampung Pasir Hantu.

Majlis penutup dimeriahkan dengan laungan para peserta yang menantikan nombor-nombor penyertaan mereka dipilih sebagai pemenang hadiah cabutan bertuah untuk merebut pelbagai hadiah dari penaja.

Mengulas mengenai PIC, Za'abar berharap acara sukan lumba lasak itu dapat membantu mempelbagaikan produk pelancongan yang terdapat di pulau itu selain keindahan dasar lautnya.

Cuma ujarnya, acara yang diadakan akan lebih menarik sekiranya 'dirakyatkan' melalui aktiviti yang lebih berorientasikan kebudayaan.

"Sukan pelancongan akan lebih meriah sekiranya menyelitkan nilai-nilai budaya dan penglibatan penduduk setempat," katanya yang mahu melihat PIC menjadi ikon sukan pelancongan bertaraf antarabangsa.

PIC dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri Terengganu, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu dengan penajaan Bubu Long Beach dan Rip Curl. Penaja bersama termasuk Spritzer, 100 Plus, UFL, Colemen, Suunto, Deuter, PowerBar dan Brooks.

Acara yang semakin mendapat tempatan di peringkat antarabangsa itu disertai peserta termasuk dari Singapura, Brunei, Filipina, Australia, Ghana, Amerika Syarikat dan New Zealand. Angka terbesar sejak acara pertama pada 2004.

No comments:

Post a Comment