Saturday, November 14, 2009

e-Book atasi masalah belajar ketika banjir

Dijangkakan dua atau tiga tahun lagi, semua pelajar sekolah rendah dan menengah yang terlibat dengan banjir di negeri ini tidak perlu lagi bersusah payah ke sekolah.

Ini kerana dalam tempoh tersebut, kesemua pelajar dilengkapi kemudahan buku elektronik, e-Book yang disediakan secara percuma oleh kerajaan negeri sejak ia mula diperkenalkan tahun lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pelajar hanya perlu menggunakan e-Book untuk mengikuti pembelajaran sambil dipantau oleh guru masing-masing menerusi konsep 'kelas maya' yang bakal diwujudkan kelak.

Katanya, pelajar boleh memilih sama ada berada di rumah yang mempunyai kemudahan jalur lebar atau ke pusat-pusat siber untuk mengikuti kelas secara jarak jauh, tanpa perlu ke sekolah ekoran banjir.

"Jika semua berjalan lancar dan pelajar sudah dibekalkan dengan kemudahan e-Book dalam dua atau tiga tahun lagi, mereka tidak perlu bersusah payah ke sekolah ketika musim banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan e-Book kepada Sekolah-sekolah Rendah DUN Alur Limbat dan DUN Bukit Payong oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di sini semalam.
Beliau seterusnya memberitahu, pada tahun depan, kira-kira 50,000 murid sekolah rendah di negeri ini bakal menerima kemudahan e-Book bagi memenuhi keperluan pembelajaran mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, kerajaan negeri sedang berusaha menjayakan program 'kelas maya' dengan menjadikan Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir sebagai projek perintis.

Menurutnya, jika segala urusan berjalan lancar, program itu akan diperluaskan kesemua sekolah di negeri ini tahun depan.

Katanya, bagi tujuan itu, anak syarikat kerajaan negeri, Top IT Sdn. Bhd. dan syarikat yang mengedar e-Book, Intel Sdn. Bhd., akan menganjurkan kursus kepada semua guru, terutama yang mengajar murid tahun enam.

"Guru-guru ini diberi kursus dan mereka kena bersedia untuk mengajar menggunakan kaedah 'kelas maya', dan kalau berjaya, kita yang pertama laksanakan program ini," tambahnya.

No comments:

Post a Comment