Monday, November 23, 2009

KEADAAN BANJIR SEMAKIN BURUK

Keadaan banjir di pantai timur terutamanya di Kelantan dan Terengganu semakin buruk apabila semakin ramai mangsa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sejak awal pagi ini berbanding semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Oparasi Banjir (PKOB) Negeri di Kota Darulnaim berkata, sehingga pukul 6 pagi tadi, seramai 3,019 orang dipindahkan di seluruh negeri berbanding 2,327 orang malam tadi.
Seramai 1,488 adalah dari jajahan Pasir Mas, Kuala Krai (812), Tanah Merah (401), Jeli (247), Pasir Puteh (36) dan Machang (35), katanya hari ini.

Jurucakap PKOB berkata, mangsa perlu dipindahkan kerana keadaan air di kebanyakan tempat menyukat banjir di negeri ini semakin meningkat dan berada di atas paras bahaya menyebabkan air melimpahi tebing.
Sehingga 9 pagi ini, paras air di Tangga meningkat kepada 26.91 meter iaitu 1.91 meter di atas paras bahaya (25 meter).

Lebih 1,000 orang di Terengganu dipindahkan ke pusat pemindahan. Mangsa banjir meningkat kepada 5,641 berbanding 4,627 orang petang tadi, kata Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu malam semalam.

Sehingga kini paras air di beberapa sungai utama di Terengganu juga masih berada pada paras bahaya.

Jumlah mangsa yang paling ramai dipindahkan ialah di Hulu Terengganu melibatkan 1,413 orang, Kemaman (1,329), Setiu (1,059), Besut (1,008), Dungun (555) dan 277 lagi dari Marang.

Sebanyak 106 pusat pemindahan dibuka setakat ini iaitu 26 di Hulu Terengganu, Besut (24), Setiu (20), Kemaman (18), Dungun (11)dan Marang (tujuh)

Jalan persekutuan yang dinaiki air dan ditutup kepada semua kenderan ialah Jalan Sungai Tong ke Kuala Berang, manakala jalan pantai Kuala Terengganu ke Kota Baharu turut ditutup kepada kenderaan ringan.

Jalan yang paling banyak ditutup ialah di Hulu Terengganu (10), Marang (tujuh), Setiu (enam), Dungun (dua) dan Besut (tiga).

Hujan lebat yang berterusan sejak Rabu lepas turut menyebabkan tebing runtuh di Jalan Jerangau ke Jabor iaitu di Bukit Diman, Ajil menyebabkan sebelah jalan berkenaan ditutup.

Paras air Sungai Besut di Kampung La meningkat kepada 20.72 meter, Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (9.28 meter), Sungai Nerus di Kampung Langkap (22.26 meter) dan bacaan sungai itu di Kampung Bukit (17.25 meter).

Di Sungai Berang, paras air di Pengkalan Ajal merekodkan bacaan 17.14 meter bahaya 16 meter), Sungai Kemaman di Jambatan Jerangau 12.71 meter (bahaya 12.5 meter) dan Sungai Marang di Pengkalan Berangan 14.16 meter (bahaya 13.7 meter).

No comments:

Post a Comment