Friday, November 13, 2009

LTdL 2010 antara 1 dan 7 Mac Depan

Edisi ke-15 perlumbaan berbasikal terulung di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, akan berlangsung dari 1 hingga 7 Mac depan membabitkan tujuh peringkat perlumbaan.

Peringkat perlumbaan LTdL 2010 akan bermula dengan peringkat pertama iaitu Kota Bharu - Kuala Berang (174.5km) dan seterusnya Kuala Terengganu - Chukai sejauh 182.9km.

Peringkat terakhir ialah Kuala Kubu Baru ke Dataran Merdeka.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Mohd Yassin Salleh, yang menyaksikan KBS bertindak sebagai penganjur dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

"Perlumbaan pada tahun depan akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM10 juta dengan laluan merentasi tujuh negeri dan dua Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran itu di lobi Wisma KBS Khamis.

Mohd Yassin berkata penglibatan KBS selaku penganjur pada tahun depan bagi menjadikan penganjuran sukan sebagai industri yang dapat menyumbang kepada pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa depan.

"Selain itu, ia juga selaras dengan hasrat menjadikan tahun 2011 sebagai Tahun Industri Sukan Negara dengan beberapa langkah akan diambil bagi meningkatkan penyertaan dan kesedaran rakyat," katanya.

Mengenai tarikh kejohanan yang dilewatkan sedikit daripada kelazimannya yang sering dianjurkan pada penghujung Februari, Mohd Salleh berkata ini bagi mengelakkan penganjurannya bertembung dengan sambutan Tahun Baru Cina.

"Kita yakin dengan laluan-laluan menarik yang telah disusun oleh jawatankuasa penganjur akan mendapat sokongan tinggi rakyat seperti sebelum ini," katanya.

Perlumbaan yang berstatus 'hors' (kategori pendakian tertinggi) itu akan melibatkan penyertaan 20 pasukan dengan cabaran bermula di Kota Bharu, Kelantan menyusuri Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sejauh 1001.8 kilometer.

"Sehingga kini, 17 pasukan telah pun mengesahkan penyertaan dan kita terpaksa memilih mengikut garis panduan yang telah ditetapkan walaupun mendapat sambutan daripada banyak pasukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2010, Mohamed Salleh berkata beliau meletakkan harapan yang tinggi untuk kejohanan itu lebih berjaya dan cuba melakukan penganjuran yang terbaik.

"Penglibatan saya di dalam perlumbaan ini bukan merupakan kali pertama kerana saya turut mengikuti perlumbaan secara langsung sejak tiga tahun lepas sebelum ini," katanya yang pertama kali dilantik sebagai CEO bagi menjayakan perlumbaan itu.

Mohamed Salleh, yang juga Ketua Unit Industri Sukan KBS, berkata beberapa pendekatan baru akan diambil pada kejohanan itu seperti laluan mencabar seawal peringkat pertama perlumbaan dari Kota Bharu ke Kuala Berang dengan jarak sejauh 174.5 kilometer.

"Para pelumba mungkin terpaksa berdepan dengan halangan angin serta cuaca yang panas pada bulan itu yang pastinya akan menjadi saingan itu lebih menarik," katanya.

Pada edisi 2009, awal tahun ini, perlumbaan LTdL dimonopoli oleh pasukan dari Columbia, Diquigiovanni-Androni apabila meraih gelaran juara pasukan keseluruhan dan tiga gelaran utama melalui dua pelumbanya iaitu Jose Serpa Perez yang meraih gelaran pelumba terbaik keseluruhan dan raja bukit manakala Mattia Gavazzi selaku raja pecut.

Namun pasukan itu setakat ini masih belum mengesahkan penyertaannya pada LTdL 2010.

Gelaran pelumba terbaik Asia LTdL 2009 diungguli pelumba Indonesia, Tonton Susanto yang mewakili pasukan benua tempatan, Le Tua Cycling Team.

Peringkat perlumbaan LTdL 2010:

1: Kota Bharu - Kuala Berang (174.5km)

2: Kuala Terengganu - Chukai (182.9km)

3: Pekan - Mersing (144km)

4: Mersing - Parit Sulong (163.5km)

5: Muar - Port Dickson (140.2km)

6: Putrajaya - Genting Highlands (103.9km)

7: Kuala Kubu Baru - Dataran Merdeka (92.8km)

No comments:

Post a Comment