Friday, November 13, 2009

Pelajar, guru terima anugerah khas kokurikulum


Seramai 40 pelajar dan guru terpilih menerima pelbagai anugerah sempena Malam Gala Kokurikulum Daerah Besut yang diadakan di kediaman Pegawai Daerah Besut di Pantai Peranginan Air Tawar dekat Kampung Raja kelmarin.

Daripada jumlah itu, 10 orang pelajar dan guru menerima anugerah khas kerana kejayaan dan pencapaian dalam bidang sukan, permainan dan akademik di peringkat negeri dan kebangsaan sepanjang tahun ini.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Besut, Wan Mohamad Wan Ibrahim dan turut dihadiri oleh Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Baharuddin Ibrahim serta pengetua dan guru besar.

Program yang julung kali diadakan itu bertujuan menghargai pencapaian pelajar dan guru dalam bidang sukan, kokurikulum dan kurikulum sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan.

Pencapaian tertinggi daerah Besut tahun ini ialah sebagai johan keseluruhan pada kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia Terengganu (MSSMT) apabila berjaya memungut 16 pingat emas, tiga pingat perak dan lapan pingat gangsa.

Baharuddin dalam ucapannya berkata, penglibatan pelajar dalam bidang sukan, permainan dan kokurikulum dapat membantu melahirkan golongan pelajar yang lebih berdisiplin.

Katanya, peraturan dan undang-undang yang diwujudkan dalam setiap sukan dan permainan menjadikan pelajar lebih berhemah serta dapat menjaga tingkah laku mereka dengan baik.

Sementara itu Wan Mohamad dalam ucapannya berkata, masalah keruntuhan akhlak dan moral golongan remaja termasuk pelajar yang berlaku hari ini tidak sepatutnya dipandang ringan oleh masyarakat.

Katanya, menuding jari dengan meletakkan kesalahan kepada pihak tertentu tidak akan dapat menyelesaikan masalah itu dari berlarutan sebaliknya semua pihak perlu bersedia membantu.

Tambahnya, apa yang penting ialah semua pihak menggembleng tenaga dan fikiran perlu untuk bersama-sama membantu kerajaan mengatasi masalah tersebut agar generasi muda tidak hanyut dalam gejala sosial.

Sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment