Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya mengutip balik pinjaman lebih RM1 juta daripada peminjam pendidikan dan perniagaan sejak menawaran diskaun 30 peratus bagi mereka yang membayar balik pinjaman sekali gus untuk tempoh empat bulan mulai September lepas.
Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata penawaran diskaun itu bertujuan memudahkan serta mengalakkan peminjam, khususnya peminjam tegar untuk membuat bayaran balik secara sekali gus, selain dapat memperbaiki aliran tunai Mara untuk membiayai aktiviti yang lain.
Pahang dan Terengganu mencatat jumlah kutipan yang terbesar sehingga kini dengan mencatat RM500,000 kutipan bagi setiap negeri, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis graduasi dan penyampaian sijil Kelas Anggerik Taska Mara 2009 di Ibu Pejabat Mara, di Kuala Lumpur, kelmarin.
"Selama ini kutipan pinjaman dilakukan secara konservatif iaitu melalui potongan tetap gaji bulanan seperti RM100 sebulan, walhal ramai di antara peminjam yang mampu untuk membayar sekali gus pinjaman mereka," katanya.
Dalam perkembangan lain, Idris berkata Mara akan mempertingkatkan prasarana anggota kerja Taskanya termasuk memberi imbuhan tahunan pakaian uniform, menyediakan kemudahan klinik panel dan peningkatan kadar cuti tahunan.
Katanya mereka juga akan di hantar mengikuti kursus bersijil iaitu Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak yang diwajibkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Mara juga berharap dapat menambah bilangan anak-anak kakitangan di bawah usia empat tahun memasuki taska kepada lebih 400 orang apabila bangunan, Persada Putra yang terletak bersebelahan ibu pejabat Mara siap kelak," katanya.
No comments:
Post a Comment