Orang ramai atau pengguna di Terengganu yang membeli makanan laut terutama ikan, dinasihatkan supaya memasaknya dengan sempurna bagi mengelak terkena penyakit taun.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Nordiyanah Hassan berkata, pihaknya mengesyaki makanan hasil laut yang tidak bersih dan dimasak dengan tidak sempurna menjadi salah satu punca penyakit taun merebak di Terengganu.
"Orang ramai hendaklah membersih ikan yang hendak dimasak dengan baik dan masak dengan sempurna bagi mengelak terkena penyakit taun," katanya semalam.
Beliau juga menasihatkan kilang-kilang air batu yang membekalkan bahan berkenaan untuk kegunaan nelayan supaya tidak menyalahguna dengan menjual kepada orang ramai untuk dijadikan minuman biasa.
"Air batu berkenaan untuk kegunaan nelayan sahaja untuk menahan hasil laut daripada cepat rosak. Ia tidak boleh sekali-kali dibuat minuman," katanya.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya mendapat kerjasama yang baik daripada kilang air batu, iaitu hanya dua di negeri ini, di Pulau Kambing dan Pelabuhan Perikanan Cendering, untuk memberi bekalan kepada nelayan.
Penyakit taun yang mula dikesan minggu lepas itu, kini turut dikesan di daerah Marang, Setiu, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Setakat ini penyakit itu belum dikesan di daerah Besut, tambah Dr Nordiyanah.
No comments:
Post a Comment