Selepas pelaksanaan e-Book kepada murid Tahun Lima, Kerajaan Negeri mengorak langkah melaksanakan Program Virtual Class (Kelas Maya), tahun depan.
Melalui program itu, guru yang sedang mengajar akan dapat mengakses secara langsung e-Book yang dibekalkan kepada murid dan memantau mereka bagi proses pembelajaran di dalam kelas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya sudah mula mempersiapkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir sebagai perintis program berkenaan.
Menurutnya, program di bawah tajaan Intel itu kini dalam proses penyesuaian dengan siri penerangan dan pemasangan peralatan selengkapnya giat dilakukan untuk melaksanakan program itu.
“Kerajaan Negeri kini melihat perkembangannya dan sekiranya memuaskan serta mengikut kehendak dimaklumkan kepada negeri dan Menteri Besar, kami akan laksanakan serta meluaskannya di seluruh negeri tahun depan.
“Setakat ini kami tidak mempunyai sebarang masalah, kini kami tunggu dan lihat perkembangannya sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan e-Book Sekolah-sekolah Rendah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong dan Alor Limbat di Dataran Futsal Bukit Payong kelmarin.
Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Turut hadir, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Zaidi Muda.
Pada majlis itu, seramai 1,519 murid menerima e-Book masing-masing iaitu 806 murid dari DUN Alor Limbat dan 713 murid dari DUN Bukit Payong.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, pada Disember nanti, Intel bersama Top IT akan mengadakan kursus untuk semua guru terutama mereka yang akan mengajar murid Tahun Enam iaitu yang mengajar murid Tahun Lima tahun ini.
“Kursus berkenaan bagi membolehkan guru terbabit lebih bersedia mengajar menggunakan kaedah Kelas Maya.
“Jika usaha ini berjaya, kita adalah yang pertama di dunia melaksanakan program sebegini,” katanya.
No comments:
Post a Comment