Saturday, November 14, 2009

Pesakit taun di Terengganu dijangka bertambah

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan, menjangka jumlah pesakit akan bertambah dalam tempoh dua minggu ini berikutan jangkaan berlaku hujan peringkat kuning di negeri di Pantai Timur bermula esok (Ahad) hingga Khamis ini yang boleh menyebabkan kejadian banjir, sekali gus memudahkan penyakit itu merebak.

Beliau berkata, orang ramai memiliki simptom taun dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik dan pusat kesihatan berhampiran bagi mengelak penyakit itu merebak dan menjangkiti lebih ramai orang.

Semalam, seramai lapan lagi pesakit yang mengalami gejala muntah serta cirit birit kronik dan dirawat di Wad Isolasi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Mereka disahkan menghidap taun, menjadikan jumlah keseluruhan 11 pesakit menghidap penyakit itu sehingga semalam, berbanding hanya tiga disahkan kelmarin.

Wad Isolasi HSNZ juga menerima kemasukan 42 pesakit baru yang memiliki simptom taun semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 98 kes, berbanding hanya 56 pesakit direkodkan kelmarin.

"Walaupun jumlah pesakit terus meningkat, tetapi keadaan di Wad Isolasi masih terkawal dan kita sentiasa bersedia serta mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk menampung pertambahan pesakit.

“Bagaimanapun, dengan jangkaan Terengganu, Kelantan dan Pahang akan mengalami hujan sekejap-sekejap kadang kala lebat bermula Ahad ini, kita menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengelak daripada sebarang punca penyakit ini bagi mengelak jangkitan.

“Penduduk di beberapa daerah yang dijangka mengalami banjir seperti di Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman dinasihatkan mengelak mengharung air banjir yang kebiasaannya bercampur air najis dan memudahkan pembiakan penyakit ini, selain mengelak makanan dan minuman tercemar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Setakat ini, satu kes kematian telah dicatatkan di HSNZ akibat penyakit taun pada Rabu lalu.

No comments:

Post a Comment