Monday, November 9, 2009

Program IUBT diberi peruntukan tambahan

Program Inkubator Usahawan Belia Tani (IUBT) akan diberi peruntukan tambahan bagi menarik lebih ramai penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, penambahan peruntukan tersebut dijangka dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) nanti.

Katanya, sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan memperuntukkan RM4.6 juta untuk program berkenaan dan perbincangan untuk menambah jumlah berkenaan akan dilakukan.

"Menjadi hasrat kerajaan untuk menarik minat usahawan tani muda kerana dalam masa yang sama mereka boleh membantu kerajaan mengurangkan import bahan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kepada 45 peserta Program Inkubator Usahawan Belia Tani 2009 di Pusat Latihan dan Pembangunan Pengembangan (PLPP) Wilayah Timur, baru-baru ini.

Mengenai masalah kekurangan modal, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan TEKUN bagi membolehkan peserta yang lulus program berkenaan layak diberi jumlah pinjaman tertentu sebagai modal.

"Masalah ketiadaan tanah untuk dijadikan tapak penanaman pula, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri sekiranya mereka boleh menyediakan kawasan tanah terbiar kepada peserta kita untuk diusahakan," katanya.

Pihaknya juga menyarankan usahawan tani membentuk pakatan sesama sendiri bagi membolehkan pengumpulan hasil pertanian untuk menjamin bekalan berterusan dan konsisten jika ingin menembusi pasaran pasar raya.

"Peserta juga mendapat kerjasama baik daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dari segi pemasaran, jadi kita harap mereka dapat menjaga kualiti produk yang dihasilkan bagi memastikan produk mereka dapat sambutan," katanya.

No comments:

Post a Comment