Monday, November 9, 2009

ECER Pertingkat Pembangunan Modal Insan



Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) meneruskan usaha pembangunan modal insannya bagi membantu mendapatkan pekerjaan bagi graduan baru dan penganggur di Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing, di Johor.

Inisiatif yang diberi nama Program Penempatan Graduan (GPO) dan Program Penempatan Pekerjaan (EPP) itu bermula di Terengganu hari ini dengan taklimat anjuran Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) dan Jabatan Sumber Manusia, bagi lebih 170 syarikat.

Ketua pegawai eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John, berkata program-program itu akan menangani isu berkembar kadar pengangguran dan pekerja diberhentikan yang tinggi, terutamanya mereka yang terjejas oleh krisis ekonomi baru-baru ini.

"Ia juga akan menangani masalah syarikat-syarikat yang sama besar bilangannya dalam ECER yang mencari pekerja mahir dn separa mahir," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Di bawah GPO, graduan akan diambil bekerja oleh syarikat yang beroperasi dalam ECER selama dua tahun.

Dalam sembilan bulan pertama, peserta akan didedahkan dengan latihan sambil bekerja, di samping menikmati gaji bulanan minimum RM1,200, yang dibayar bersama oleh ECERDC dan syarikat yang mengambil bahagian.

Sementara itu EPP menempatkan pekerja kolar biru yang diberhentikan dan penganggur dengan syarikat rakan kongsi yang mencari kakitangan sambilan, kontrak dan tetap.

Issac John menjelaskan bahawa program ini memberi faedah kepada syarikat kerana ia membantunya memanfaatkan bakat-bakat dalam kumpulan modal insan yang sangat besar di negara ini.

"ECERDC menyasarkan untuk menempatkan 1,350 pekerja di bawah program ini. Dalam senario yang lebih luas, kami cuba mematah arah pengaliran keluar pekerja berkualiti dari ECER, dengan memberikan alasan yang kukuh untuk mereka kembali dan berkhidmat di negeri-negeri dalam ECER," tegasnya.

ECERDC juga mengendalikan Program Latihan Kemahiran bagi penganggur, graduan baru dan lepasan sekolah sejak Ogos tahun ini. Ia melibatkan lebih 2,000 peserta.

Program pembangunan modal insan di bawah ECER adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion yang diumumkan oleh kerajaan untuk menggerak atur sumber modal insan dengan matlamat menjana pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan baru.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui sekretariat ECER di talian 03-2035 0021/22 atau mana-mana pejabat wilayah ECER di Kota Bharu (09-7460021), Kuala Terengganu (09-620 0021) dan Kuantan (09-565 0021).

No comments:

Post a Comment