Wednesday, November 25, 2009

Terengganu cakna soal pendidikan

Kerajaan negeri sentiasa mengambil cakna soal pendidikan bagi memastikan mereka berjaya dan berkeinginan untuk terus maju dan pada masa sama ibu bapa perlu memberi lebih perhatian dan tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada guru.


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha`ari Idris, berkata ibu bapa perlu memainkan peranan bersungguh-sungguh untuk mendidik dan membina akhlak dan jati diri anak.

Katanya, cabaran global dan tahap pendidikan yang semakin meningkat kini, menuntut guru dan ibu bapa sama-sama berganding bahu memainkan peranan ke arah kejayaan dan kecemerlangan anak.
"Sebenarnya, pencapaian sesebuah sekolah bukan hanya diukur pada kemegahan dan keselesaan prasarana dan kecemerlangan akademik dan ko-kurikulumnya tetapi apa lebih penting kejayaan ibu bapa mendidik anak menjadi modal insan berwibawa dan berdaya saing," katanya berucap merasmikan Majlis Graduasi Murid Tahun Enam dan Anugerah Kualiti 2009 Sekolah Kebangsaan Kampung Rahmat (SKKR) kelmarin.

Hadir sama, Guru Besar SKKR, Ady Mat; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru-Guru (PIBG) Azmi Maarof dan Pengurus Felda Kampung Rahmat, Ab Hamid Harun.

Pada majlis itu, 77 murid Tahun Enam SKKR menerima skrol tamat persekolahan daripada Asha`ari, manakala tujuh murid menerima Anugerah Khas Guru Besar yang mana setiap murid mendapat wang tunai RM50 sumbangan Asha`ari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Langkap.
Pada ucapannya, Ady menjelaskan bahawa majlis bertujuan memberi penghargaan kepada murid yang akan meninggalkan sekolah dan meneruskan pengajian mereka ke sekolah menengah pada tahun depan.

Majlis itu juga bertujuan meraikan kejayaan murid cemerlang dalam pelajaran dan pada masa dengan adanya majlis graduasi itu akan memberi pengalaman baru kepada mereka untuk terus berjaya.

"Sejarah telah tercatat untuk sekolah ini kerana sejak dibuka pada awal tahun 1960an, inilah julung kali majlis seumpama ini diadakan dan kami warga pendidik bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak terutama ibu bapa yang terus memberi perhatian dan sokongan kepada anak mereka, " katanya.

Beliau berkata, majlis graduasi itu akan menjadi platform untuk murid membalas jasa guru dan pengorbanan ibu bapa dalam mendidik mereka dari Tahun Satu hingga Tahun 
Enam dan segala kenangan yang diperoleh di sekolah akan diingati dan hubungan rapat dengan guru terus kukuh walaupun mereka meninggalkan sekolah ini.

No comments:

Post a Comment