Monday, November 9, 2009

Terengganu Inc. sasar lebih ramai pelabur asing

Terengganu Inc. mahu lebih banyak pelabur asing membuat pelaburan di negeri Terengganu dalam usaha membangunkan ekonomi negeri dan mewujudkan peluang pekerjaan.


Negeri itu mempunyai potensi pelaburan yang luas iaitu dalam perindustrian, kayu-kayan, perladangan, pelancongan dan minyak serta gas.

Negara-negara yang berpotensi untuk melakukan pelaburan di negeri berkenaan dalam tempoh terdekat ini adalah Jepun, Korea Selatan dan China.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mustapha Ahmad Marican berkata, selain perindustrian dan perladangan, pihaknya melihat pelancongan merupakan sektor yang amat berpotensi untuk dibangunkan.

Katanya, pelabur boleh melabur dengan membina lebih banyak pusat peranginan dan calet di negeri berkenaan.

Tambahnya, Terengganu turut mempunyai banyak pulau dan pantai yang cantik untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Selain itu, jelasnya, tasik di negeri itu juga boleh dikomersialkan supaya menarik perhatian pelancong.
"Walaupun kami membuka luas pelaburan asing, tetapi kami menetapkan syarat iaitu 70 hingga 80 peratus kakitangan yang bekerja dengan pelabur asing hendaklah anak jati Terengganu,'' katanya.

Beliau menambah, Terengganu Inc. yang diperbadankan 1 Mac 2006, kini mempunyai 100 buah anak syarikat.

Syarikat-syarikat di bawah Terengganu Inc, menjalankan aktiviti perniagaan dalam pelbagai bidang iaitu khidmat sokongan minyak dan gas, sumber asli, hartanah dan pembinaan, pertanian dan perladangan, pelancongan dan pelaburan.

Mustapha berkata, beliau merancang mewujudkan peluang pekerjaan baru di kalangan anak tempatan melalui anak-anak syarikat di bawah Terengganu Inc.

Katanya, pihaknya turut mengintai golongan profesional untuk mengisi jawatan dalam pelbagai bidang kepakaran masing-masing di Terengganu Inc dan anak-anak syarikat.

"Saya mahu mengubah imej dan pengurusan di setiap anak syarikat supaya ia menjadi lebih berdaya saing, cekap, sistematik dan mempunyai kepakaran yang khusus dalam bidang-bidang tertentu,'' ujarnya.

Ketika ditanya perluasan perniagaan dalam masa terdekat, beliau tidak menolak Terengganu Inc bakal mengintai peluang usaha sama dengan negara-negara Asia Barat dalam projek minyak dan gas.

No comments:

Post a Comment