Monday, November 9, 2009

Jefree juara Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan

Penunggang pasukan Royal Terengganu Edurance Stable (RTES), Jefree Zainuddin Mohamad Arif muncul

juara Kejohanan Kuda Lasak Terengganu Piala Sultan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu semalam.

Penunggang berusia 25 tahun dan berasal Kuang, Selangor itu menewaskan 60 peserta dalam kejohanan sejauh 120 kilometer dengan catatan masa sembilan jam 13 minit dan 14 saat.

Kejayaannya itu membolehkannya membawa piala pusingan, trofi kejohanan dan wang tunai AS$10,000 (RM34,000).

Tempat kedua dimenangi oleh penunggang pasukan Ar-Raudah Equine Centre, Datuk Mohd. Shuaib Ishak dengan catatan masa 9:14:29s dan tempat ketiga diperoleh Ahmad Syazmeer Shamsudin dari pasukan Tengku Mahkota Kelantan Equestrian dengan 9:20:30s.

Mohd. Shuaib membawa pulang trofi dan wang tunai AS$7,000 (RM23,800) manakala Ahmad Syazmeer

pula memperoleh trofi dan wang tunai AS$5,000 (RM17,000).

Seramai 60 peserta menyertai perlumbaan sejauh 120 km bermula kelmarin namun hanya 13 penunggang berjaya menamatkan perlumbaan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.
Jefree Zainuddin ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka muncul sebagai juara kejohanan tersebut kerana menerima saingan hebat daripada para peserta terutama Mohd. Shuaib.

''Keadaan jalan yang becak dan berlopak juga cabaran untuk menamatkan perlumbaan," katanya yang terlibat dalam sukan berkuda itu sejak berusia 12 tahun.

Dia memberitahu, dia menjalani latihan selama setahun sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran yang ditawarkan oleh TIEP.

No comments:

Post a Comment