Sunday, December 13, 2009

43 penduduk miskin syukur terima bantuan

Sebanyak 43 penduduk miskin di Dewan Undangan Negeri Tepoh di sini bersyukur menerima bantuan daripada kerajaan dalam usaha membantu menyediakan pendapatan tambahan kepada mereka.

Bantuan dalam bentuk bot, mesin jahit dan peralatan pertukangan kayu itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhamad Ramli Nuh pada Program Peningkatan Pendapatan Golongan Miskin DUN Tepoh di Kuala Terengganu kelmarin.

Muhamad Ramli berkata, kesemua bantuan berjumlah RM430,000 itu bertujuan membantu meningkatkan kedudukan ekonomi penduduk miskin di kawasan itu.

''Kerajaan mahu penduduk di kawasan ini menggunakan bantuan yang digunakan dalam mengubah nasib hidup mereka daripada terus dibelenggu kemiskinan," katanya.

Beliau berkata, kesemua penerima dipilih daripada senarai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Salah seorang penerima, Wan Nong, 44, berkata, dia gembira menerima bantuan bot dan enjin sangkut yang akan membantu menyara kehidupannya dan keluarga.

Penduduk Kampung Jeram itu, berkata, sebelum ini, dia terpaksa menumpang bot nelayan lain untuk menangkap ikan dan keadaan itu agak menyukarkannya untuk mencari pendapatan tambahan kerana bergantung kepada bot rakan.

''Dengan bot ini, saya akan dapat menangkap ikan di Sungai Nerus tanpa sebarang masalah," katanya yang bekerja sebagai nelayan sejak 20 tahun lalu.

Seorang lagi penerima bantuan, Mokhtar Che Mat, 51, berkata, dia kini boleh menarik nafas lega apabila menerima bantuan berbentuk alat pertukangan termasuk mesin pengetam papan.

''Sebelum ini saya terpaksa menanggung kos tinggi dalam membuat pelbagai kerja pertukangan kerana semua alat ini perlu saya sewa.

''Dengan bantuan ini, saya mampu mengurangkan kos dan dapat menyimpan untuk kegunaan keluarga," katanya.

No comments:

Post a Comment