Lebih 50 peratus bekas pelatih Institut Perikanan Malaysia (IPM) Cendering di Kuala Terengganu terlibat secara langsung dalam industri perikanan, dengan kebanyakannya memilih untuk menjadi nelayan dan nakhoda.
Ketua IPM Cendering Dr Mohd Fadzil Shuhaimi Ramli berkata selebihnya pula menceburi bidang yang berkait dengan laut seperti bekerja sebagai pengendali bot kargo, perahu penambang dan sebagainya.
Bercakap di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata angka itu diperolehi menerusi kajian IPM tahun lepas.
Beliau berkata IPM melatih hampir 1,000 orang setahun terutama kepada kalangan anak-anak nelayan di seluruh negara, dalam bidang yang berkaitan dengan perikanan, antaranya seperti kursus pengendalian peralatan menangkap ikan, ilmu-ilmu pelayaran dan membaiki enjin bot.
Selain itu Dr Mohd Fadzil berkata institut itu juga mengadakan kursus pembangunan nakhoda untuk meramaikan nakhoda tempatan dalam negara, yang sebelum ini dikuasai warga negara asing.
Dr Mohd Fadzil berkata setiap kursus yang memakan masa antara satu minggu hingga satu setengah tahun diberikan secara percuma, dan menurutnya IPM yang dulunya dikenali sebagai sekolah perikanan, membelanjakan kira-kira RM3 juta tahun ini untuk menganjurkan kursus-kursus tersebut.
(Sumber Bernama)
No comments:
Post a Comment