Thursday, November 26, 2009

Intel Malaysia Laksana Transformasi Di Bawah Pelan Hala Tuju Baharu 2010

Intel Malaysia menjangkakan perubahan menyeluruh syarikat dalam tempoh 12 bulan akan datang di bawah pelan hala tuju 2010 dengan instrumen dan keupayaan baharu.


"Kami membuat penyusunan semula bagi pertumbuhan dan anda akan menyaksikan bahawa kami benar-benar berubah," kata Pengurus Negaranya Ryaz Patel.

Patel berkata Intel dengan kerjasama bersama kerajaan negeri Terengganu dan IT Industries Sdn Bhd melancarkan projek buku elektronik yang menyediakan 25,000 komputer peribadi berkuasa Intel kepada murid darjah lima yang belajar di sekolah-sekolah di negeri itu.

Intel, katanya, ketika ini sedang berunding dengan kerajaan negeri lain berkenaan inisiatif yang sama.

Intel, kata Patel, telah menunjukkan bahawa ia komited dalam melaksanakan semua yang dirancang di bawah Pelan Hala Tuju 2009 meskipun kegawatan ekonomi global.

"Tahap pelaburan, perbelanjaan modal serta penyelidikan dan pembangunan telah dilakukan," katanya pada taklimat media di sini, pada Rabu.

Selain instrumen baharu, Pelan Hala Tuju 2010 juga akan memperlihatkan keupayaan baharu dan penyepaduan banyak teknologi, yang akan berasaskan kepada prestasi.

Antaranya ialah platform Pine Trail, yang merupakan versi seterusnya Atom line syarikat yang mengurangkan bilangan cip dalam set cip Atom daripada tiga kepada dua, kata Patel.

Beliau berkata Intel akan memulakan pengeluaran teknologi proses 32-nanometernya di bawah Pelan Hala Tuju 2010, dengan pemproses Westmere 32-nanometer yang direka untuk menyediakan prestasi kecekapan tenaga dan integrasi yang tinggi.

Mengenai tanggungjawab sosial korporatnya, Intel melepasi pencapaian melatih enam juta guru di seluruh dunia menerusi program Intel Teach, kata Patel.

Beliau berkata di Malaysia sahaja, program itu telah melatih hampir 60,000 guru sejak 2000.

Di Malaysia, Intel bekerjasama dengan Packet One Networks yang membawa kepada kejayaan pelancaran rangkaian 802.16e WiMAX pertama di seluruh negara, katanya.

Intel dan Packet One kini menyasarkan penembusan jalur lebar 50 peratus pada tahun depan, katanya.

No comments:

Post a Comment